Dirogol Sehingga Lahirkan 9 Anak, Ini Kisah Rosalynn McGinnis Yang Diculik Bapa Tiri Selama Hampir Dua Dekad

Rosalynn McGinnis hanya berusia 12 tahun ketika dia diculik oleh bapa tirinya sendiri dan dibawa lari ke negara jiran, Mexico. Selama lebih dua puluh tahun Rosalynn menjadi tahanan lelaki bertopengkan iblis itu, wanita ini akhirnya berjaya melarikan diri.

Berikut merupakan kisah penculikan Rosalynn McGinnis yang menjadi salah satu kes penculikan paling terkenal dalam sejarah jenayah Amerika.

Perkahwinan di usia muda

Dilahirkan pada 14 Mei 1984, Rosalynn Michelle McGinnis sudah menjadi mangsa penderaan seksual bapa tirinya, Henri Piette semenjak berusia 11 tahun. Malah, ibu gadis malang ini juga didera secara fizikal oleh lelaki berkenaan.

Oleh kerana tidak sanggup lagi menanggung derita, ibu Rosalynn membawa anak perempuannya itu lari dari rumah. Dua beranak itu memulakan hidup baru mereka di sebuah rumah perlindungan wanita di Oklahoma.

Namun begitu, kehidupan aman dua beranak itu hanya bertahan selama satu tahun sebelum Henri berjaya mengesan Rosalynn dan menculiknya sewaktu gadis itu sedang berjalan pulang dari sekolah.

Sebelum Henri benar-benar membawa Rosalynn pergi, lelaki berkenaan telah memaksa anak lelakinya yang berusia 15 tahun untuk mengahwinkan dirinya dan Rosalynn. Difahamkan, majlis terbabit berlaku di belakang sebuah van milik Henri.

Menurut Federal Bureau Investigation (FBI), usai ‘pernikahan’ tersebut, Henri telah memperkenalkan Rosalynn kepada anak-anaknya yang lain sebagai ibu baru mereka.

“Keluarga berkenaan kemudiannya mula mengembara ke beberapa buah lokasi di serata Amerika Syarikat seperti Texas, Montana, Idaho, New Mexico dan Arizona. Mereka akhirnya terus menetap di negara jiran, Mexico,” ujar wakil FBI.

Mimpi ngeri bermula

Demi mengelakkan dari dikesan pihak berkuasa, Henri telah bertindak menukar nama kesemua ahli keluarganya, termasuk Rosalynn. Malah, gadis malang itu juga dipaksa untuk memotong dan mewarnakan rambut merahnya.

Apabila Henri mengetahui bahawa dia kini menjadi buruan polis, lelaki itu telah memaksa Rosalynn untuk menulis sepucuk surat kepada ibunya.

“Dia mahu saya tulis surat kepada ibu untuk buat mereka (polis) percaya bahawa kami masih berada di dalam negara,” terang Rosalynn.

Wanita yang kini sudah berusia 34 tahun itu berkongsikan kisah keperitan hidupnya dalam satu temu bual bersama KSHB.

“Dia (Henri) mendera saya secara seksual dan fizikal. Kali pertama saya hamil adalah ketika berusia 13 tahun.”

Walau bagaimanapun, Rosalynn mendedahkan dia mengalami keguguran semasa kehamilan pertamanya. Henri telah memaksa wanita berkenaan untuk membuang janinnya ke dalam lubang tandas.

“Saya sangat takut dan keliru. Saya langsung tidak faham apa sebenarnya yang telah berlaku,” ujar Rosalynn.

Rosalynn hamil lagi tidak lama kemudian dan selamat melahirkan anak pertamanya ketika berusia 15 tahun di belakang sebuah van.

Menurut Rosalynn, kehidupannya di Mexico serba kekurangan kerana punca pendapatan keluarga hanyalah bergantung kepada kerjanya sebagai seorang pengemis.

“Henri menghabiskan semua wang untuk membeli dadah dan alkohol,” kata Rosalynn.

“Saya belajar membuat madu dan aiskrim untuk menjana pendapatan keluarga.”

Semenjak diculik pada 31 Januari 1997 lalu, Rosalynn telah dipukul, diseksa dan dirogol hampir setiap hari oleh Henri. Akibat daripada perlakuan kejam itu, Rosalynn telah melahirkan sembilan orang anak hasil persetubuhan tanpa rela terbabit.

Cubaan melarikan diri

Setelah hampir 19 tahun dijadikan tahanan, Rosalynn akhirnya membuat keputusan berani untuk meninggalkan Henri buat selama-lamanya.

“Saya tahu jika saya tidak keluar dari situ, kemungkinan besar saya akan jadi gila atau mati. Saya tidak sanggup meninggalkan anak-anak saya dengan lelaki itu,” ujar Rosalynn.

Setelah berjaya mengumpul wang yang cukup buat tambang teksi, Rosalynn dan lapan daripada sembilan orang anaknya telah pergi ke Kedutaan Amerika Syarikat di Oaxaca City, Mexico.

Menurut Rosalynn, anak sulungnya telah terlebih dahulu melarikan diri dari rumah. Namun begitu, dua beranak terbabit sudah bertemu semula tidak lama selepas Rosalynn diselamatkan.

Pengakhiran Henri Piette

Pada September 2017, Henri Piette telah berjaya ditahan pihak berkuasa setelah beberapa bulan melarikan diri. Lelaki berkenaan dicekup ketika cuba untuk memperoleh sijil perjalan sah untuk masuk ke Amerika Syarikat.

Henri telah dibawa masuk semula ke Amerika Syarikat pada Oktober 2017. Walau bagaimanapun, dalam sebuah temu bual ringkas bersama sebuah stesen televisyen, Henri menegaskan bahawa kata-kata Rosalynn semuanya tidak benar.

“Saya tidak pernah menyakitinya. Ketika kami melakukan hubungan seks, ia bukanlah sesuatu yang salah kerana Rosalynn adalah ‘isteri’ saya,” ujar lelaki itu.

Henri Piette akhirnya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada Jun 2019 selepas didapati bersalah menculik dan mengembara dengan niat untuk melakukan hubungan seksual dengan kanak-kanak bawah umur.

Menurut laporan, Rosalynn dan anak-anaknya kini dalam proses untuk memulakan hidup baru di Amerika. Wanita itu kini bercita-cita mahu menyambung perjalan dalam bidang undang-undang dengan harapan dia boleh membantu kanak-kanak lain sepertinya.

Artikel Lain Untuk Di Baca