Seorang suri rumah yang dipercayai menjadi mangsa penipuan Macau Scam telah mengalami kerugian sebanyak RM15,000 selepas individu tersebut menyamar sebagai petugas syarikat telekomunikasi dan anggota polis.
Mangsa yang berusia 47 tahun itu dikatakan menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya merupakan wakil syarikat Telekom Malaysia.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara iaitu Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, menerusi panggilan tersebut, mangsa diberitahu bahawa maklumat dirinya telah digunakan oleh individu lain untuk mendaftar akaun telefon.
“Mangsa kemudiannya disambung ke talian yang didakwa Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk membuat laporan polis secara dalam talian.”
“Bagaimanapun, selepas panggilan disambung, dia kemudiannya dimaklumkan ada terlibat dalam kes dadah dan pengubahan wang haram berdasarkan semakan pada kad pengenalannya,” katanya.
Tambah Noorzainy lagi, anggota ‘polis’ berkenaan seterusnya meminta mangsa untuk memasukkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan dengan alasan bagi tujuan siasatan pihak berkuasa.
“Wanita itu telah mengikut arahan suspek kerana dia terlalu takut selepas diugut akan ditangkap kerana mangsa dikatakan turut mempunyai waran tangkap.”
“Dia telah memasukkan wang sebanyak RM15,000 ke dalam satu akaun bank yang diberikan suspek,” katanya lagi.
Sebaik sahaja memaklumkan apa yang telah menimpanya kepada keluarga, barulah mangsa sedar bahawa dia sebenarnya ditipu. Tanpa membuang masa, mangsa terus membuat laporan polis..
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.