Dipercayai Tempat Pemujaan Dewa, Ahli Arkeologi Mesir Temui Kuil Purba

Kementerian Pelancongan Mesir mengesahkan ahli arkeologi mereka telah menemui sisa-sisa kuil purba yang dibina untuk memuja Zeus-Kasios di barat laut Semenanjung Sinai.

Memetik laporan Live Science, runtuhan bangunan itu ditemui di tapak arkeologi Tell el-Farama. Terletak di hujung timur muara Sungai Nil ketika zaman Yunani-Rom, kawasan ini dikenali sebagai kota dan pelabuhan Pelusium.

Disebabkan lokasinya yang strategik, Pelusium telah digunakan oleh orang ramai sebagai kubu pada zaman firaun Mesir. Pasukan arkeologi menemui kuil Zeus-Kasios selepas menggali di sekitar sisa-sisa tinggalan dua tiang merah jambu yang terletak di kawasan berkenaan.

Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Mesir iaitu Mostafa Waziri menjelaskan kedua-dua tiang merah jambu itu pernah membentuk pintu hadapan kuil tersebut tetapi ia runtuh kerana gempa bumi kuat yang melanda wilayah berkenaan.

Sumber: The Vocket

Para penyelidik difahamkan sudah mengetahui bahawa kuil dewa Zeus-Kasios wujud di lokasi ini. Pada awal 1900-an dan 1990-an, ahli arkeologi mengesahkan tiang-tiang yang ditemui itu dipercayai dibawa dari tempat lain dengan menggunakan tongkang. Tongkang itu melalui Sungai Nil dari Aswan yang terletak di selatan Mesir ke Pelusium.

Ahli arkeologi Jean Cledat telah menemui inskripsi Yunani di tapak tersebut sebelum ini dan mendiang percaya kuil Zeus-Kasios mungkin telah dibina semasa zaman Yunani-Rom.

Walau bagaimanapun, ahli arkeologi tidak pernah melakukan sebarang penggalian rasmi di tapak berkenaan yang terletak berdekatan kubu purba dan gereja.

Sumber: The Vocket

Ayman Ashmawy iaitu ketua sektor penyelidikan Mesir di Majlis Tertinggi berkata beberapa blok granit merah jambu besar ditemui di jalan-jalan sekitar kawasan kuil menunjukkan bahawa para pekerja pada masa itu mungkin menggunakan semula batu-batu kuil untuk projek lain seperti gereja.

Para saintis sedang mendokumentasikan batu-batu yang baru dianalisis itu menggunakan fotogrametri iaitu satu teknik di mana pelbagai imej digital digunakan untuk mencipta imej maya 3D.

Imej-imej itu akan membantu pasukan saintis itu cuba mencipta semula kuil itu secara maya.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca