Dipercayai Menjadi Korban Ritual Semah, Kisah Hantu Janet Masih Menghantui Penduduk Sarawak

Pernahkah anda mendengar mengenai kisah Hantu Janet Sarawak? Untuk pengetahuan anda, sekitar tahun 70an dan 80an, terdapat banyak versi mengenai hantu ini sehingga ia menjadi satu sensasi di bumi kenyalang terutama sekali bagi penduduk di bandar Kuching.

Menurut orang ramai ketika Janet ini masih hidup, dia merupakan seorang gadis berbangsa TiongHua dan bekerja sebagai seorang jururawat di sebuah hospital di Kuching iaitu Hospital Umum Sarawak (HUS). Janet telah diculik ketika dalam perjalanan pulang seorang diri. Kejadian ini dikatakan berlaku pada hujung tahun 60an.

Setelah Janet diculik, semakin ramai anak gadis lain di kawasan Kuching turut hilang satu persatu. Pada masa itu, orang ramai percaya bahawa kehilangan mereka adalah disebabkan sebuah ritual yang digelar korban semah.

Mengikut kepercayaan orang dahulu kala, korban semah dilakukan sekiranya terdapat sebuah bangunan atau pembinaan yang sedang dijalankan bagi mengelakkan gangguan makhluk halus.

Secara kebetulan, pada ketika itu, pembinaan Jambatan Satok di Kuching sedang dijalankan. Namun begitu, ia menjadi tergendala kerana dipercayai diganggu oleh penunggu kawasan.

Demi untuk mengelakkan gangguan ini daripada berterusan, korban semah harus dijalankan. Kebiasaannya, mereka yang terlibat dengan sesebuah pembinaan itu akan mencari gadis perawan untuk dijadikan mangsa. Difahamkan, perempuan-perempuan muda yang diculik akan dibunuh sebelum kepala mereka dipenggal dan ditaman di dalam struktur binaan seperti tiang konkrit.

Menurut masyarakat di sana, mereka sudah menemukan satu mayat tanpa kepala yang dipercayai milik Janet. Mendengar pengkhabaran tersebut, ibu bapa gadis itu amat sedih dan memilih untuk mengebumikan mayat perempuan malang itu dengan menggunakan pakaian berwarna merah.

Mengikut kepercayaan kaum Cina, sekiranya seseorang dikebumikan dengan memakai pakaian berwarna merah, roh mereka akan kembali untuk membalas dendam. Orang ramai percaya bahawa kedua orang tua Janet mahu menuntut bela atas kematian anak perempuan mereka kerana mereka mengesyaki bahawa gadis itu telah dibunuh.

Hantu Janet mula menganggu bandar Kuching tidak lama selepas Janet dikebumikan. Masyarakat yang tinggal di Kampung Kidei dan Kampung Bintangor di Satok mendakwa mereka sering terlihat seorang wanita berpakaian serba merah dan lengkap berpayung akan berjalan-jalan seorang diri pada waktu malam.

Selain itu, Hantu Janet juga dikatakan sering menahan mana-mana kereta sebelum meminta pemandunya menghantarnya ke suatu tempat. Namun begitu, setibanya di lokasi, pemandu kenderaan akan mendapati diri mereka sebenarnya berseorangan di dalam kereta selain dihantui dengan satu bau busuk yang tidak dapat dipastikan asal-usulnya.

Ada juga sesetengah yang berpendapat Hantu Janet gemar untuk menahan kenderaan yang hanya dipandu oleh kaum lelaki dan akan mengajak mereka pergi menonton wayang. Difahamkan, aktiviti itu adalah hobi kegemaran Janet yang sering dilakukannya ketika masih hidup.

Namun begitu, terdapat juga segelintir individu yang mendakwa wanita berpakaian serba merah sering dilihat menaiki feri pada waktu malam untuk merentasi Sungai Sarawak. Apabila kenderaan itu tiba di seberang sungai, perempuan berkenaan akan hilang dan duit tambang yang dibayarnya akan bertukar menjadi dedaun yang kering ataupun wang kertas palsu yang sering digunakan oleh kaum Cina untuk dibakar dalam upacara kematian. Sehingga saat ini, operator feri di kawasan tersebut enggan meneruskan perkhidmatan selepas jam 10 malam.

Sehingga kini, Hantu Janet masih menghantui minda penduduk Sarawak. Sesetengah mereka berpendapat bahawa roh gadis itu akan kembali ke tempat kerja lamanya yakni Hospital Umum Sarawak. Nama perempuan itu sama sekali tidak akan disebut ekoran orang ramai khuatir ia akan mengundang padah.

Penulis

• Lyverline Nadiyata Ricky Ngo adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
• Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan
Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca