Dipercayai Mahu Duit Insurans, Suami Sempat Swafoto Sebelum Tolak Isteri Hamil Dari Tebing Bukit

Seorang suami di Turki dibawa ke mahkamah atas tuduhan mengambil nyawa isterinya dengan cara yang kejam. Sebelum menamatkan riwayat wanita tersebut, dia dilaporkan mengambil gambar swafoto bersama isterinya yang berbadan dua selama tujuh bulan.

Beberapa saat kemudian, Hakan Aysal menolak isterinya iaitu Semra jatuh dari tebing bukit. Memetik laporan Mirror, lelaki berusia 40 tahun itu telah dituduh menolak isterinya dari tebing bukit sehingga wanita terbabit meninggal dunia ketika mereka bercuti di Butterfly Valley dekat bandar Mugla, Turki pada Jun 2018.

Semra hamil tujuh bulan pada waktu kejadian. Sumber: Mirror

Wanita berusia 32 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian bersama bayi dalam kandungannya. Pendakwa raya berkata Hakan dan Semra sempat mengambil gambar swafoto di tebing bukit.

Menurut beliau lagi, kecelakaan tersebut sebenarnya adalah rancangan jahat Hakan untuk menuntut wang insurans. Menerusi satu dokumen pendakwaan, Hakan dikatakan telah merancang untuk mengambil nyawa isterinya bagi mendapatkan wang insurans kemalangan jiwa sebanyak 400,000 lira Turki (RM231,468) yang dinamakan ke atas namanya.

Pihak pendakwa turut berkata pasangan tersebut duduk di tebing bukit selama tiga jam kerana Hakan mahu memastikan tidak ada orang lain di sekitarnya sebelum membuat keputusan untuk menolak mangsa jatuh ke bawah.

Sumber: Mirror

Dokumen yang dikemukan oleh pihak pendakwa turut mengesahkan Hakan telah menuntut pembayaran insurans sebanyak TRY400,000 (RM231,468) setelah isterinya meninggal dunia.

Permohonan tersebut bagaimanapun ditolak oleh pihak insurans selepas mereka melakukan siasatan terperinci. Menerusi satu wawancara video bersama abang mangsa iaitu Naim Yolcu, dia berkata Hakan tidak keluar dari kereta ketika berkunjung ke Institut Perubatan Forensik untuk mengambil jenazah isterinya. Reaksi Hakan juga seperti tiada apa-apa yang berlaku walaupun isterinya baru sahaja meninggal dunia.

Semra dan Hakan. Sumber: Mirror

“Setelah Semra meninggal, kami baru dapat tahu dia mempunyai tiga pinjaman yang Hakan ambil atas nama adik saya. Selain itu, Hakan adalah orang yang takut dengan ketinggian. Jadi, apa sukan ekstrem apa yang boleh mereka lakukan jika dia takut dengan ketinggian?” kata Naim.

Dalam pada itu, Hakan telah menafikan bahawa dia bertanggungjawab atas pemergian isterinya dalam satu soal jawab bersama mahkamah, “Selepas mengambil gambar, isteri saya letak telefon dalam beg. Dia kemudiannya meminta saya untuk memberikannya telefon.

Saya bangun dan kemudian mendengar isteri menjerit ketika berjalan beberapa langkah untuk mendapatkan telefon dari begnya. Ketika saya menoleh, dia tidak ada di sana. Saya tidak tolak Semra.”

Mahkamah Jenayah Tinggi Fethiye telah memutuskan bahawa Hakan akan ditahan kerana merancang pemergian isterinya.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca