Dipercayai Dibunuh, Pasangan Warga Emas Ditemui Dalam Keadaan Rentung Dengan Kesan Tikaman

Pasangan suami isteri warga emas dipercayai dibunuh sebelum mayat mereka dibakar di sebuah kediaman yang terletak di Taman Desa Melati dekat Nilai, Negeri Sembilan pada Rabu malam.

Dalam insiden kira-kira jam 9.20 malam itu, mayat lelaki dan wanita berusia sekitar 60-an ditemui sepasukan bomba dalam keadaan yang begitu menyayat hati di mana sebahagian tubuh badan mereka rentung.

Menurut Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan iaitu Mohd Fauzi Abu Bakar, salah seorang mangsa ditemui di bahagian dapur manakala seorang lagi ditemui di bilik stor kediaman itu.

Pada masa yang sama, kesan darah turut dikesan pada bahagian lantai, lapor Astro Awani.

“Sejurus menerima panggilan pada pukul 9.23 malam, sepasukan bomba dengan kekuatan 22 anggota dan dua jentera FRT bersama satu EMRS dari Balai Nilai dikerah ke tempat kejadian.”

“Kita menggunakan teknik pemadaman dua aliran, dua pancutan di mana kami menemui mayat di bahagian dapur dan bilik stor,” katanya.

Tambahnya lagi, 40 peratus struktur rumah tersebut musnah dalam kebakaran yang dipercayai bermula di bahagian bilik di tingkat bawah rumah teres dua tingkat itu.

Ujar Mohd Fauzi lagi, mangsa dipercayai dibunuh kerana terdapat kesan tikaman pada salah satu mayat.

“Kedua-dua mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca