Dipercayai Dibuli Di Sekolah, Doktor Keluarkan Puluhan Cebisan Kertas Daripada Mata Kanak-Kanak Ini

Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun meraung kesakitan apabila doktor mengeluarkan puluhan cebisan kertas kecil yang tersangkut di dalam kelopak matanya. Kejadian yang berlaku di China ini berpunca daripada perbuatan buli yang dilakukan oleh rakan sekelas mangsa.

Menurut ibu bapa mangsa, mereka cuma mendapat tahu tentang kejadian yang menimpa Duo Duo setelah melihat cebisan kertas sering kali keluar daripada mata anak mereka sejak dua bulan lepas.

Ibu Duo Duo yang dikenali sebagai Li menyuarakan kebimbangan sekiranya cebisan kertas itu akan mendatangkan kesan buruk terhadap penglihatan murid gred dua berkenaan.

“Doktor bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada kesemua cebisan kertas itu berjaya dikeluarkan atau tidak,” kata Li.

Memetik laporan Sinar Harian, guru besar Sekolah Rendah Dajian di bandar Yuzhou, wilayah Henan yang cuma dikenali sebagai Wang mengatakan bahawa tiada guru yang ada bersama dengan mangsa dan pembuli terbabit sewaktu insiden itu berlaku.

“Mereka hanya mengoyakkan kertas kecil dan memilih Duo Duo secara rawak,” katanya.

Susulan insiden itu, Biro Pendidikan dan Sukan Yuzhou mengkritik perbuatan pembuli yang terlibat sekeras-kerasnya selain mengarahkan sekolah berkenaan mengatur sesi kaunseling untuk mangsa.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca