Dipatuk Ayam, Wanita Ini Mati Setelah Pembuluh Darah Pecah

Satu lawatan ke sebuah reban ayam bertukar tragedi apabila seorang wanita warga Australia mati dipatuk oleh salah seekor ayam peliharaannya.

Menurut satu laporan yang diterbitkan dalam sebuah jurnal bertajuk Forensic Science, Medicine and Pathology, wanita berusia 76 tahun itu sedang mengambil beberapa biji telur ayam sebelum seekor ayam jantan bertindak ganas.

Haiwan itu telah mematuk wanita tersebut lalu tepat mengenai salah satu vena variskos yang mengakibatkan pembuluh darahnya pecah dan wanita itu mati tidak lama kemudian.

Hasil bedah sisasat mendapati wanita itu turut mempunyai tekanan darah tinggi, hiperlipidemia (keadaan di mana darah mengandungi kandungan lemak yang tinggi) dan kencing manis.

Salah seorang penulis jurnal perubatan itu berkata kes kematian disebabkan patukan ayam ini amatlah jarang berlaku. Namun begitu, ia boleh menjadi peringatan kepada masyarakat supaya sentiasa berhati-hati kerana haiwan domestik yang tidak memberi ancaman seperti ayam turut mampu mendatangkan kematian.

Roger Byard, seorang profesor patologi dari Universiti Adelaide yang turut merupakan salah seorang penulis jurnal perubatan itu menerangkan bahawa kes ini menarik perhatian orang ramai kepada betapa sensitifnya vena variskos bagi orang tua.

“Mereka sudah tua jadi vena variskos sangatlah sensitif sehingga satu kecederaan kecil boleh membawa maut,” ujar Roger.

Walau bagaimanapun, profesor tersebut memberitahu bahawa kematian seperti ini boleh dielakkan dengan meletakkan tekanan kepada kawasan yang cedera.

“Jika vena ditembusi, letakkan tekanan pada kawasan itu, berbaring dalam keadaan kaki yang cedera diangkat dan dapatkan bantuan,” tambahnya.

Vena variskos merupakan vena yang besar dan sedikit menimbul. Vena ini sering dilihat berada di kaki dan betis. Walaupun kecederaan pada vena ini kadangkala tidak berbahaya, rawatan tetap harus diberikan jika mengalami kesakitan teruk pada bahagian kaki.

Vena jenis ini juga boleh dibuang melalui pembedahan jika ia terlalu besar.

Artikel Lain Untuk Di Baca