Dipaksa Menari Sehingga Mati, Ini Kisah Sebenar Puteri Disney ‘Snow White’

Kisah Snow White seperti yang diketahui ramai mengisahkan tentang seorang gadis yang mati selepas termakan epal beracun dan hidup semula setelah dikucup seorang putera raja. Versi asalnya juga tidak jauh beza dengan versi Disney ini. Namun, pengakhiran buat si permaisuri kejam adalah lebih menggerunkan.

Di dalam versi kisah Puteri Salju dan tujuh orang kerdil oleh Grimm Brothers, permaisuri telah berasa sangat cemburu dengan kecantikan yang dimiliki Snow White. Oleh itu, dia telah mengarahkan seorang pemburu untuk membawa Snow White ke sebuah hutan dan membunuhnya di situ. Permaisuri menambah, pemburu terbabit harus membawa pulang hati dan paru-paru puteri itu.

Pemburu yang tidak sanggup untuk menamatkan riwayat Snow White telah membawa pulang hati dan paru-paru seekor babi hutan sebagai ganti. Beranggapan ia adalah organ dalaman puteri yang dibencinya, permaisuri telah meminta tukang masak merebusnya dengan garam sebelum memakan organ-organ terbabit.

Namun, penipuan si pemburu tidak bertahan lama setelah permaisuri berjaya mengesan keberadaan sebenar Snow White menggunakan cermin sakti.

Snow White yang dalam pelarian telah terjumpa dengan tujuh orang kerdil. Berbeza dengan versi Disney, orang-orang kerdil yang ditemui puteri itu tidak mempunyai nama dan personaliti tersendiri. Semasa berada di rumah orang kerdil, permaisuri telah datang ke teratak tersebut dan cuba membunuh Snow White sebanyak tiga kali.

Semasa kali pertama bertemu Snow White, permaisuri telah memaksa puteri itu memakai korset yang teramat ketat mengakibatkan gadis itu pengsan. Pada pertemuan kedua, permaisuri telah menjual sebatang sikat yang menyebabkan Snow White pengsan sebaik menyisir rambutnya. Ketika kali terakhir mereka berjumpa, permaisuri telah memberikan sebiji epal beracun seperti mana yang dilihat di dalam versi Disney.

Setelah disangkakan mati oleh orang kerdil, SNow White telah diletakkan di dalam sebuah keranda kaca seperti di dalam versi penceritaan Disney.

Di dalam versi penceritaan Grimm Brothers, Snow White tidak pernah berjumpa dengan putera raja di tepi perigi. Tetapi, kali pertama dua watak ini bertembung adalah ketika sang putera datang ke rumah orang kerdil untuk bermalam tetapi telah terlihat akan Snow White terbaring kaku di dalam keranda kaca.

Serta-merta, sang putera telah jatuh hati kepada Snow White meskipun telah diberitahu bahawa gadis itu telah meninggal dunia. Putera raja berkenaan telah meminta orang kerdil untuk menjual Snow White dan kerandanya kepada baginda namun ditolak oleh orang kerdil yang masih berduka cita.

Dek kerana kasihan dan termakan rayuan sang putera, orang kerdil akhirnya akur dan membiarkan putera raja membawa Snow White pergi.

Snow White tidak sedar daripada sumpahan epal beracun kerana kucupan sang putera. Tetapi, puteri itu terjaga selepas kerandanya terjatuh dan menyebabkan cebisan epal beracun terkeluar daripada mulut Snow White.

Setelah dilamar sang putera, Snow White menaiki takhta sebagai permaisuri kerajaan itu. Ketika majlis perkahwinannya, Snow White telah ternampak kelibat permaisuri jahat di dalam istana.

Snow White yang murka dengan segala perlakuan permaisuri kepada dirinya sebelum ini telah menitahkan orang suruhan istana untuk memakaikan sepasang sepatu besi yang panas pada permaisuri jahat itu.

Permaisuri jahat akhirnya dipaksa menari sambil memakai kasut besi panas sehinggalah dia meninggal dunia.

Artikel Lain Untuk Di Baca