Gara-gara dipercayai membawa masuk snek ke dalam asrama, seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dilaporkan mengalami cacat kekal selepas dipaksa melakukan 150 kali ketuk ketampi sebagai denda di sebuah sekolah vokasional di Sichuan, China.
Memetik laporan The Sun, remaja itu telah dihukum oleh seorang guru pada 10 Jun lalu selepas dipercayai membawa masuk snek ke dalam asrama.

Dalam insiden itu, ketua pelajar yang dikenali sebagai Mu didakwa telah menemui snek di atas katil remaja berkenaan dan mengarahkan beliau melakukan ketuk ketampi sebanyak 300 kali.
Walau bagaimanapun, mangsa menafikan makanan itu adalah miliknya dan memaklumkan bahawa beliau mengalami kecederaan kaki pada April 2020.

Mu bagaimanapun didakwa tetap berkeras menyuruh mangsa melakukan ketuk ketampi di bawah pemantauan seorang guru bernama Liu di mana wanita itu didakwa tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan penderaan tersebut.
Atas sebab itu, mangsa dilaporkan telah menjalani pembedahan serius pada kakinya di beberapa buah hospital di Luzhou dan Chengdu. Doktor turut memberitahu pelajar itu bahawa beliau mengalami kecacatan kekal dan kini terpaksa berjalan menggunakan tongkat.

Mangsa juga dilaporkan mengalami kemurungan selepas insiden tersebut. Pihak sekolah telah menawarkan RMB109,774 (RM71,174) kepada keluarga mangsa sebagai pampasan tetapi ia ditolak oleh ibu bapa beliau.
Dalam pada itu, guru yang terlibat dengan insiden itu dilaporkan telah diberhentikan kerja pada 14 Julai lalu dan pihak berkuasa mengesahkan bahawa mereka kini menyiasat perkara tersebut.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: