Pada Rabu lepas, tular di Twitter satu video memaparkan dua remaja belasan tahun bercumbuan di tempat awam. Video yang pada mulanya dimuat naik di aplikasi TikTok remaja lelaki itu menjadi tersebar selepas salah seorang pengikutnya bertindak merakam skrin (screen record) aksi berkenaan dan memuat naiknya di status WhatsApp.

Dalam sekelip mata, video berdurasi 21 saat itu menjadi tular di Twitter dan menerima pelbagai reaksi daripada pengguna laman sosial itu.

Semasa artikel ini ditulis, video tersebut telah mencatat hampir 200,000 tontonan dan lebih 2,000 ulang kicau. Tinjauan penulis mendapati rata-rata mengecam tindakan dua remaja berkenaan yang seolah-olah bangga dengan perbuatan mereka.

Tidak tahan ‘diserang’ bertubi-tubi oleh warga Twitter, tuan punya badan akhirnya tampil membidas kecaman yang dilemparkan terhadap mereka.

Menurut remaja perempuan dalam video tersebut, dia mendakwa dirinya dipaksa untuk melakukan perbuatan itu. Jelasnya, dia cuba untuk mengelak tetapi ia berlaku dengan sangat pantas dan dia tidak mampu berbuat apa-apa.

Namun begitu, ada pengguna Twitter yang tampil membidas kenyataan remaja perempuan berkenaan memandangkan dia kelihatan mengukirkan senyuman di penghujung video yang tular itu. Jika terpaksa, mengapa raut wajah menunjukkan sebaliknya?
Jawabnya, demi Allah dia sangat malu dengan perbuatan itu dan tidak tahu bagaimana untuk react. Selepas perbuatan itu dirakam, dia memberitahu yang dia sangat berang dengan remaja lelaki berkenaan memandangkan dia sudah pun melarangnya berbuat demikian.

Difahamkan, remaja perempuan dalam video tersebut adalah anak kepada seorang penyanyi terkenal tanah air. Tinjauan penulis di media sosial penyanyi berkenaan mendapati ada segelintir warganet yang bertindak mengecamnya dan melabelkan dia tidak reti jaga serta didik anak.
Pada pendapat penulis, apa yang dua remaja itu lakukan sudah terang bersuluh memang salah di sisi agama. Tidak kiralah sama ada ia dilakukan di tempat awam mahupun tidak, perbuatan itu tetap salah. Rasanya, tidak perlu penjelasan lebih lanjut berkenaan perkara ini kerana semua orang tahu ia adalah salah.

Apa yang penulis tidak faham di sini adalah tindakan segelintir warganet yang melemparkan komen-komen tidak sepatutnya kepada ibu remaja berkenaan. Ya, apa yang anaknya lakukan itu adalah salah tetapi kenapa perlu libatkan si ibu sekali dalam hal ini?

Penulis percaya, tiada insan bernama ibu tidak mahu yang terbaik untuk anak mereka. Sudah pasti mereka menjaga permata hati yang dikurniakan Tuhan dengan sehabis baik. Jadi, tidak perlu rasanya kita tuding jari kepada penyanyi tersebut gara-gara aksi anaknya itu.
Apa-apa pun, diharapkan agar perkara ini dapat dijadikan iktibar buat semua.
*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.
Untuk baca artikel-artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah: