#DioramaAhad: Tindakan Kerajaan Laksanakan PKPB Betul Atau Salah?

“Awak kluster mana?” tanya Mak Cik Kiah.

“Saya kluster kedai tomyam,” jawab Pak Salleh.

“Oh, saya kluster kedai kain. Pergi cari langsir raya, balik dapat free gift COVID-19,” kata Mak Cik Kiah.

“Adik dekat sana kluster apa pula?” soal Pak Salleh.

“Kluster joging, pak cik,” jawab Shahrul Naim ringkas.

Situasi di atas pasti bermain dalam minda fikiran rata-rata rakyat Malaysia selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mana hampir kesemua sektor ekonomi akan mula dibuka bermula esok. Pelaksanaan PKPB ini diambil selepas negara kita berjaya memenuhi enam kriteria yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO.

Meskipun kebenaran beroperasi ini tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, majoriti rakyat Malaysia tampil menyuarakan kebimbangan mereka terhadap keputusan yang diambil oleh kerajaan kali ini sejurus pengumuman itu dibuat pada 1 Mei lalu.

Hal ini demikian kerana ramai yang khuatir penguatkuasaan PKPB ini hanya akan memburukkan lagi keadaan dan bukannya meletakkan titik noktah terhadap pandemik COVID-19 yang setakat ini telah meragut 103 nyawa di Malaysia. Tinjauan penulis di media sosial mendapati rata-rata bimbang kelonggaran yang diberikan kerajaan akan membuatkan segala usaha kita semua memerangi wabak COVID-19 selama ini sia-sia belaka.

Meskipun penulis sendiri memang menentang sekeras-kerasnya penguatkuasaan PKPB, namun setiap satu keputusan yang dibuat itu pasti ada sebabnya.

Apa yang penulis lihat, kerajaan sedang menghadapi dua persimpangan buat masa ini. Pertama, terlampau fokus terhadap angka sifar kes COVID-19 akan membawa kepada kematian ekonomi yang secara tidak langsung akan menjadikan kehidupan rakyat sengsara khususnya para peniaga, penjaja dan golongan B40 serta M40. Kedua, terlampau fokus kepada ekonomi pula akan meletakkan nyawa rakyat dalam bahaya memandangkan ancaman COVID-19 masih berlegar-legar di luar sana.

Jadi, apa yang kerajaan lakukan adalah tampil dengan PKPB bagi membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi beroperasi seperti biasa diiringi SOP untuk mengelakkan jangkitan wabak COVID-19.

Pada pendapat penulis, tanggungjawab terbesar sekarang sebenarnya terletak pada bahu rakyat sendiri sama ada mahu mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa atau tidak. Kelonggaran yang diberikan kerajaan bukanlah tiket untuk kembali kepada kehidupan biasa kerana kita sekarang berada dalam normal baharu. Dalam erti kata lain, ia memerlukan tanggungjawab semua pihak baik kerajaan, swasta, majikan, pekerja dan seluruh rakyat Malaysia untuk memerangi COVID-19 dan pada masa yang sama, ekonomi dan kehidupan tetap boleh berjalan dengan baik.

COVID-19 tidak akan mengucapkan selamat tinggal sekiranya kita hanya bergantung kepada pihak kerajaan semata-mata. Langkah pertama untuk memerangi virus ini sebenarnya bermula dengan sikap rakyat sendiri.

Meskipun kita dibenarkan untuk berbuka puasa di luar, kita masih boleh membantu ekonomi dengan menapau makanan dan berbuka di rumah.

Bagi syarikat yang tidak terganggu operasinya apabila kakitangan bekerja dari rumah, maka sebaiknya teruskan sahaja kerana ia sedikit sebanyak dapat mengelakkan kemunculan kluster baharu.

Memandangkan perkhidmatan tren kini sudah beroperasi seperti biasa, jangan sesekali keluar tanpa sebarang urusan penting kerana siapa tahu kluster LRT sedang menanti. Dalam erti kata lain, jangan butakan mata dan hati dengan kelonggaran yang diberikan ini jika tidak mahu diri merana pada kemudian hari.

Apa-apa pun, penulis doakan agar ekonomi negara pulih seperti sediakala dan rantaian wabak COVID-19 dapat diputuskan dalam masa terdekat. Ingat, kita masih lagi dalam medan perang. Jangan anggap seolah-olah kita sudah menang perang.

Untuk baca artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca