#DioramaAhad: Syed Saddiq Diperlekeh Di Dewan Rakyat, Ke Mana Hilangnya Adab Segelintir Wakil Rakyat Senior?

Baru-baru ini, nama Syed Saddiq menjadi topik perbualan hangat warganet dan menjadi trending di laman sosial Twitter selepas insiden beliau dipersenda di Dewan Rakyat. Malah, rata-rata masih bercakap mengenai perkara itu sehingga ke hari ini.

“Cucu, cucu nak mencelah, cucu,” kata Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar ketika Ahli Parlimen Muar itu ingin mencelah dalam perbahasan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kemudian menyambung dengan mengatakan, “Tanya atuk (merujuk kepada Tun M) kenapa dia letak jawatan.”

Demikianlah antara kata-kata yang dilemparkan terhadap Syed Saddiq semasa sidang sedang berlangsung yang sekali gus telah mengundang amarah rakyat Malaysia. Majoriti tampil memberikan sokongan kepada Syed Saddiq dan berasakan tidak wajar untuk beliau diperlakukan sedemikian rupa, lebih-lebih lagi perkara itu datang daripada wakil rakyat yang lebih senior daripada beliau.

Keratan video yang memaparkan insiden itu turut dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter, @luqmanlong. Ciapan tersebut setakat ini telah meraih lebih 90,000 ulang kicau dan hampir 70,000 tanda suka. Keratan video itu pula mencatat lebih 2.5 juta tontonan dalam masa kurang dari 48 jam ia dimuat naik. Tinjauan penulis mendapati bahawa rata-rata menyelar tindakan wakil rakyat yang bertindak mengejek dan memperlekehkan Syed Saddiq.

Bagi penulis, apa yang berlaku adalah tidak patut sama sekali. Penulis sendiri bukanlah penyokong tegar Syed Saddiq atau mempunyai minat yang mendalam dalam bidang politik tetapi apa yang berlaku tempoh hari adalah sangat keterlaluan. Cara Syed Saddiq diejek dan diperlekehkan di Parlimen bagaikan tiada hari esok adalah bukti bagaimana pandangan serta pendapat beliau sering diabaikan oleh generasi lama. Pada mereka, hanya mereka sahaja yang betul kerana mereka telah lama makan garam.

Sumber: Perak Today

Tahap tidak hormat yang ditunjukkan kepada Syed Saddiq di Parlimen juga menujukkan realiti sebenar kehidupan daripada segi bagaimana golongan belia dilayan dan sering dipandang rendah.

Sekiranya generasi lama yang diperlakukan sedemikian rupa oleh generasi muda, sudah pasti mereka ini akan dilabel sebagai biadap, kurang ajar, tidak hormat orang tua dan bermacam-macam lagi. Tetapi apabila perkara sebaliknya berlaku, ada golongan senior yang tetap mempertahankan tindakan tersebut dengan mengatakan itulah realiti sebenar perbahasan di Dewan Rakyat.

Sumber: The Star

Apa-apa pun, penulis ingin mengucapkan syabas dan tahniah buat Syed Saddiq kerana tidak melenting dan terus tenang biarpun diperlakukan sedemikian. Jangan hiraukan mereka yang tiada adab ketika berbahas. Buktikan kepada semua yang suara anak muda juga berhak untuk didengari di Dewan Rakyat.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel-artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca