#DioramaAhad: ‘Stalk’ Profil Media Sosial Pekerja Adalah Hak Majikan?

“Gila ke apa baru je bagi kerja dah tanya siap ke belum?”

“Kalau ya pun nak bagi kerja, agak-agaklah. Ingat aku robot ke?”

I’m so stressed with my job! On the way nak mati.”

Tidak dapat dinafikan, media sosial sekarang sudah persis seperti diari. Jika suatu ketika dahulu kita coretkan segala ketidakpuasan hati di dalam diari, sekarang media sosial sudah ambil alih ‘tempat’ itu.

Sekiranya seseorang itu tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara, media sosial yang akan menjadi tempat untuk meluahkan segalanya. Kadang-kadang, perkara di tempat kerja pun dibawa ke media sosial.

Ramai yang mengatakan bahawa apa yang dikongsikan di alam maya adalah hak individu. Dalam ungkapan versi Mat Salih, ia disebut sebagai freedom of speech. Namun begitu, adakah wajar untuk kita mengeluh tentang tempat kerja atau perkara buruk tentang rakan sekerja di media sosial?

Ada sesetengah majikan pada hari ini bertindak menyelidik atau kita sering sebut sebagai ‘stalk’ profil pekerja syarikat mereka. Hal ini demikian kerana ada majikan yang beranggapan bahawa apabila seseorang itu sudah terikat dengan sesebuah syarikat, segala kehidupan mereka pun terikat sekali termasuklah akaun media sosial.

Jadi, adakah majikan berhak untuk selidik profil media sosial pekerja?

Pada pendapat penulis, tidak keterlaluan jika dikatakan kita boleh mengenali seseorang itu hanya dengan melihat media sosial mereka. Apa yang kita pilih untuk kongsi di Twitter, Facebook, Instagram dan laman sosial lain menggambarkan peribadi kita.

Bercakap buruk tentang majikan dan tempat kerja yang menjadi sumber pendapatan kita sudah cukup untuk menunjukkan bahawa kita seorang yang tidak bersyukur. Bayangkan, majikan yang diburuk-burukkan di media sosial itulah yang mengambil kita bekerja dan membayar gaji kita pada setiap bulan.

Jadi, sebelum mempersoalkan wajarkah majikan selidik profil pekerja, kita patut tanya diri kita terlebih dahulu, wajarkah kita burukkan majikan di media sosial?

Kerja apa sahaja yang tidak stres? Hidup ini bukannya indah setiap masa. Sekiranya kita rasa tempat kerja sekarang terlampau membebankan sehingga mengganggu kesihatan mental, cari kerja baru dan berhenti berkerja di ‘neraka’ itu. Orang yang tidak matang dan tidak profesional sahaja memilih untuk complain di media sosial.

Setiap kali kita tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara, kita terlalu cepat menuding jari terhadap orang lain sebagai punca permasalahan itu. Begitu juga dalam isu majikan ini. Apabila kita berasa tertekan bekerja di sesebuah syarikat, majikan yang dipersalahkan dan bermulalah episod maki hamun di media sosial.

Setiap kali posting berbaur bahasa kasar tentang majikan lalu di timeline, penulis sendiri percaya individu yang bermasalah sekarang bukannya majikan, tetapi staf itu sendiri. Bagaimana orang nak hormat sekiranya sekecil-kecil perkara seperti kerja terlalu banyak pun mahu dihebahkan di media sosial?

Memilih media sosial untuk luahkan segalanya bagi menghilangkan stres adalah alasan semata-mata. Ia tidak menyelesaikan masalah malah makin memburukkan lagi keadaan. Communication is the key, venting on social media is not. Jadi sekiranya ada masalah dengan tempat kerja, jumpa bos dan bincang elok-elok.

Berbalik kepada persoalan tadi, pada pendapat penulis, tidak salah untuk majikan selidik profil media sosial pekerja. Apabila kita berkongsi sesuatu di media sosial, motifnya adalah memperlihatkannya kepada orang ramai. Kenapa majikan tidak boleh melihat apa yang kita kongsikan? Majikan juga tergolong dalam ‘orang ramai’ itu.

Kesimpulannya, sebelum berkongsi sesuatu terutamanya berkenaan majikan di media sosial, fikir dahulu. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak post atau tweet buruk padahnya!

Apa yang dicoret di atas adalah pandangan dari mata seorang pekerja. Anda boleh tonton video di bawah untuk mengetahui apa pula pandangan dari sudut seorang majikan berkenaan isu ini.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Press Digital.

Untuk baca artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pautan di bawah:

#DioramaAhad: Mimpi Jadi Realiti, Ini Kisah Di Sebalik Pencapaian 2 Juta Pembaca Di iamlejen.com

Artikel Lain Untuk Di Baca