#DioramaAhad: Single Terbaharu Andi Bernadee Dan Bunkface Cetus Perdebatan

Industri hiburan negara kita memang tidak pernah lari daripada kontroversi. Saban hari, ada sahaja isu baharu yang melibatkan penggiat industri hiburan tanah air. Baru-baru ini, nama Andi Bernadee dan Bunkface menjadi topik perbualan hangat warganet selepas masing-masing tampil dengan single terbaharu mereka. Apa yang menyebabkan rata-rata bercakap soal mereka?

Pada 21 Februari lalu, penyanyi kelahiran Sabah, Andi Bernadee atau nama sebenarnya Andi Azrul bin Andi Mapangile telah melancarkan video muzik rasmi bagi single terbaharunya yang berjudul Shimmy. Selepas 10 hari dilancarkan, video muzik itu berjaya meraih lebih 1.5 juta tontonan. Malah, ia juga turut menjadi trending di laman YouTube.

Walau bagaimanapun, salah satu babak dalam muzik video berkenaan telah mengundang kecaman warganet apabila ia memaparkan Andi sedang menggigit leher seorang wanita. Babak itu dianggap keterlaluan sehinggakan ada yang melabelkan ia sebagai video muzik paling sampah kerana menjatuhkan martabat kaum Hawa.

https://twitter.com/AndiBernadee/status/1231914366900920320

Berang diperkatakan sedemikian rupa, Andi tampil membidas kecaman yang dilemparkan terhadapnya itu. Pada pendapat penulis, tindakan Andi itu bukannya memperbaiki keadaan tetapi makin memburukkan situasi dan namanya.

Pertama sekali, sebelum Andi tampil dengan muzik video sedemikian rupa, dia sepatutnya sedar akan kecaman yang menanti. Sudah terang lagi bersuluh, apa yang dipaparkan dalam video muzik itu sama sekali tidak kena dengan agama dan budaya masyarakat di Malaysia. Jadi, apabila dirinya dihujani dengan kritikan warganet, Andi sepatutnya tidak menegakkan benang yang basah. Bagi penulis, adalah lebih wajar untuk Andi mengakui kesalahannya dan memohon maaf. Tamat cerita.

Berkenaan Bunkface pula, kumpulan yang dianggotai tiga jejaka itu baru-baru ini tampil dengan single terbaharu berjudul Akhir Zaman. Ia bagaimanapun telah mengundang pelbagai reaksi daripada warganet kerana terdapat lirik yang disifatkan sebagai menyentuh sensitiviti sesetengah pihak.

“Mana pergi semua duit rakyat?” dan “LGBT boleh pergi mampus” adalah antara bait dalam lagu Akhir Zaman yang mencetus amarah warganet sehinggakan ada segelintir yang melabelkan Bunkface sebagai homophobic.

Pada pendapat penulis, Bunkface hanya menyuarakan pandangan dan pendirian mereka dalam lagu tersebut. Bukankah kita semua dibenarkan untuk mempunyai pandangan dan pendapat sendiri tentang sesuatu perkara?

Bagi penulis, banyak sebenarnya mesej yang cuba disampaikan oleh Sam, Youk dan Paan dalam lagu Akhir Zaman tetapi ramai yang memilih untuk fokus pada dasarnya semata-mata dan tidak cuba untuk mendalami bait-bait karya tersebut.

“LGBT boleh pergi mampus” yang diberi fokus sedangkan ada satu baris yang sebenarnya lagi mendalam maksudnya dan wajar diberikan perhatian iaitu “Di sini lepas, di sana belum tentu lepas.” Jika bait ini sama sekali tidak memberikan apa-apa kesan kepada anda, maka benarlah kita kini berada di akhir zaman.

Apa-apa pun, sama-sama kita tunggu kenyataan daripada tuan empunya badan. Beberapa hari lepas, penulis cuba untuk mendapatkan keterangan daripada Bunkface tetapi mereka enggan memberi kenyataan awal tentang lagu Akhir Zaman. Menurut vokalis kumpulan itu iaitu Sam, segala persoalan akan dijawab pada bulan April nanti. Jadi, sama-sama kita nantikan.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca