#DioramaAhad: Sikap Penting Diri Punca Tercetusnya Kluster Sivagangga

Pada 28 Julai lalu, dua kluster baharu COVID-19 telah dikenal pasti. Salah satu daripada kluster tersebut adalah Kluster Sivagangga. Ia berpunca daripada pemilik sebuah restoran nasi kandar bertempat di Pekan Napoh, Jitra yang pulang ke Malaysia dari India pada 13 Julai lalu.

Pada mulanya, saringan COVID-19 di pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapati individu tersebut negatif wabak itu dan dia diarahkan untuk menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO). Namun begitu, individu berkenaan tidak mengendahkan perintah tersebut dan berkunjung ke restoran miliknya seperti biasa tanpa sebarang rasa bersalah.

Sumber: Twitter Khairul Azri

Saringan ulangan yang dijalankan terhadap pemilik restoran nasi kandar itu kemudian mendapati dia positif wabak yang setakat ini telah meragut lebih 712,000 nyawa di seluruh dunia. Maka, tercetuslah Kluster Sivagangga yang kini menjadi kluster aktif keempat terbesar dengan 30 kes (setakat 6 Ogos 2020).

Lebih membimbangkan, Kluster Sivagangga ini dikatakan berkemungkinan merupakan super spreader yang berkait rapat dengan Genom 614 dari Mesir dan Pakistan. Hal ini demikian kerana kluster tersebut merebak dengan sangat cepat berbanding sembilan kluster aktif yang lain.

Sumber: Mashable SEA

Apa yang memburukkan lagi keadaan adalah apabila kedai nasi kandar milik pembawa Kluster Sivagangga itu bukan sahaja tidak menggunakan aplikasi MySejahtera tetapi data para pelanggan dan suhu mereka juga tidak direkodkan secara manual. Ini sekali gus menyukarkan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengesan kontak rapat pemilik restoran berkenaan.

Pada pendapat penulis, kemunculan kes dan kluster baharu di negara kita sebenarnya berpunca daripada sikap penting diri segelintir individu. Contoh yang paling jelas di sini adalah Kluster Sivagangga. Sekiranya dari awal lagi pemilik restoran mematuhi HSO dan menjalani kuarantin di rumah sepertimana yang diarahkan oleh pihak KKM, maka kluster ini mungkin tidak akan wujud. Jika kluster ini tidak wujud, peningkatan kes secara mendadak juga tidak akan berlaku.

Adakah kita mahu tunggu kes mencecah tiga digit dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa semula dan barulah masing-masing mula patuh dengan Prosedur Operasi Standard (SOP)? Bagi penulis, ‘vaksin’ sebenar dalam meletakkan titik noktah terhadap pandemik COVID-19 ini sebenarnya adalah diri kita sendiri.

Sama-sama kita jaga kita dan patuh dengan arahan kerajaan dalam memerangi virus ini supaya negara kita mencatatkan angka sifar COVID-19. Ingat, kita masih belum menang.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel-artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca