#DioramaAhad: Sejarah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL)

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang juga dikenali sebagai Kuala Lumpur International Book Fair (KLIBF) dapat diibaratkan seperti sambutan hari raya buat pencinta buku. Malah, ia juga dilihat sebagai destinasi perbukuan masyarakat.

Sejarah penganjuran PBAKL

Pada tahun 1972, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengisytiharkan tahun itu sebagai Tahun Buku Antarabangsa. Sejajar dengan itu, pengusaha buku tempatan telah menganjurkan pameran buku peringkat antarabangsa pertama di Kuala Lumpur di mana ia dikenali sebagai International Exhibition of Book Trade and Industry.

Pada masa yang sama, rata-rata syarikat tempatan tidak melepaskan peluang untuk mengambil inisiatif daripada promosi UNESCO dengan mengadakan pelbagai pameran buku.

Pada tahun 1976, Persatuan Penerbit Buku Malaysia tampil dengan cadangan untuk menjadikan pesta buku sebagai acara tahunan dan menganjurkannya secara berpusat bagi memudahkan pemasaran. Pesta buku ini dikenali sebagai Pameran Buku Kebangsaan dan ia bertempat di Dewan Perhimpunan China, Kuala Lumpur. Pameran ini berjaya menarik ramai pengunjung terutamanya dalam kalangan pelajar universiti di sekitar Kuala Lumpur.

Memandangkan ia mendapat sambutan yang cukup luar biasa daripada pelajar universiti, pesta buku tersebut kemudiannya beralih ke Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaysia pada tahun 1982. Ketika ini, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) berkolaborasi dengan persatuan industri perbukuan tempatan bagi menjayakan acara yang dikenali sebagai Pesta Buku Malaysia.

Untuk rekod, penubuhan MBKM sebagai satu badan khas yang diberi amanah untuk memajukan industri buku negara adalah hasil saranan pakar-pakar buku dari Asia Pasifik yang bersidang di Tokyo, Jepun pada tahun 1966 atas undangan UNESCO.

Berbalik kepada Pesta Buku Malaysia, lokasi penganjurannya berpindah ke Changkat Pavillion pada tahun 1988 dan ia mula dikenali sebagai Pesta Buku Kuala Lumpur (PBKL).

Pada tahun 1991, ia kemudiannya dipindahkan ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Memandangkan penyertaan acara itu dibuka kepada pengusaha buku luar negara seperti Indonesia, Thailand dan Jepun, ia telah dijenamakan semula dengan nama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) atau Kuala Lumpur International Book Fair (KLIBF).

PWTC menjadi lokasi penganjuran PBAKL semenjak tahun 1991 kecuali pada tahun 2016 di mana ia diadakan di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang. Penganjuran PBAKL di MAEPS bagaimanapun menerima kritikan hebat daripada pempamer dan juga para pengunjung. Ramai yang berpendapat lokasi itu sama sekali tidak sesuai memandangkan ia jauh dari pusat bandar raya dan faktor ketiadaan pengangkutan awam di kawasan itu. Ini sekali gus membawa kepada kemerosotan dalam penjualan buku berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sekitar November lepas, PBAKL 2020 dikatakan sekali lagi bakal mengambil tempat di MAEPS dan pengumuman itu telah mendapat kritikan hebat daripada penerbit dan pengunjung tetap acara tersebut. Selain pengangkutan awam untuk ke sana tidak efisyen, faktor surau kecil dan tidak selesa serta ketiadaan kedai makan berhampiran juga menjadi antara sebab utama ramai membidas pemilihan tempat itu.

Mengambil kira pendapat orang ramai, pihak MBKM akhirnya mencapai kata sepakat untuk mengadakan PBAKL 2020 di PWTC.

Mengetengahkan slogan “KL Baca: Menyantuni Masyarakat Melalui Pembacaan” dan konsep Kepelbagaian Budaya dan Pemuliharaan Alam Sekitar, PBAKL 2020 bakal berlangsung pada 27 Mac sehingga 5 April 2020.

Apa-apa pun, jangan lupa untuk berkunjung ke booth Lejen Press di PWTC nanti! Sebelum itu, anda boleh baca artikel berkenaan buku-buku terbitan Lejen Press yang bakal dijual semasa PBAKL 2020 dengan diskaun menarik menerusi pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca