Dengan tagline ‘keluarga sunnah’ dan sentiasa menyeru seluruh umat Islam supaya mengikut cara hidup Rasulullah SAW, ia sudah cukup membuatkan Ustaz Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew disegani dalam kalangan masyarakat Malaysia. Di saat negara sedang dilanda pandemik COVID-19, Ustaz Ebit Lew telah meraih pujian orang ramai apabila dia telah memberikan pelbagai peralatan dan makanan kepada barisan hadapan selain membantu mereka yang terputus pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Dalam pada ramai yang memuji usaha murni Ustaz Ebit Lew, ada juga pihak yang tidak berpuas hati dan mempertikainya usahanya. Memandangkan Ustaz Ebit Lew sering berkongsi video memaparkan aktiviti kebajikannya ketika PKP, ada segelintir yang berpendapat bahawa dia sebenarnya tidak ikhlas dan hanya dahagakan pujian masyarakat semata-mata.
Malah, beberapa hari yang lepas, terdapat beberapa pihak yang telah membuat laporan terhadap Ustaz Ebit Lew. Ada yang meragui aktiviti kebajikannya dan ada juga yang mendakwa dia tidak menjaga penjarakan sosial semasa menghulurkan bantuan kepada orang ramai. Ia sekali gus menyebabkan pendakwah bebas itu dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis.
Perkara itu telah membuatkan Ustaz Ebit Lew mengambil keputusan untuk tidak lagi membantu mereka yang memerlukan secara langsung.
Dia telah berkongsi satu luahan di Facebook miliknya susulan laporan polis yang dibuat terhadapnya. Mengakui dirinya menangis ketika memberi keterangan kepada beberapa orang pegawai, Ustaz Ebit Lew bagaimanapun tidak menuding jari terhadap mana-mana pihak dalam hal ini. Pada masa yang sama, dia juga memohon maaf kepada pihak yang berkecil hati dengan niatnya membantu orang yang berada dalam kesempitan.
“Saya bukan ahli politik. Saya bukan sesiapa. Cuma Cina Islam yang sayangkan Islam dan Malaysia,” demikianlah coretan Ustaz Ebit Lew dalam hantaran tersebut yang telah menyentuh hati rata-rata warganet. Tinjauan penulis di ruangan komen mendapati majoriti menyelar tindakan individu yang bertindak membuat laporan polis terhadap Ustaz Ebit Lew.

Penulis juga tergolong dalam kalangan mereka yang mengecam tindakan segelintir individu yang melaporkan Ustaz Ebit Lew kepada pihak polis. Bagi penulis, tidak salah untuk Ustaz Ebit Lew merakam dan berkongsi video memaparkan dirinya menghulurkan bantuan kerana ia sekali gus menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.
Selain itu, bantuan tersebut juga merangkumi sumbangan daripada orang ramai. Jadi, memang wajarlah Ustaz Ebit Lew berkongsi video untuk menunjukkan ke mana sumbangan tersebut diagihkan. Menerusi video yang dikongsikan, ia sekali gus memberi jaminan kepada mereka yang menyumbang bahawa sumbangan mereka telah sampai ke tangan yang memerlukan.

Berkenaan isu tidak menjaga penjarakan sosial pula, penulis telah melihat beberapa video yang dikongsikan Ustaz Ebit Lew. Semasa menyampaikan bantuan, dia dilihat memakai topeng muka dan sarung tangan serta memperingati orang ramai supaya menjaga jarak ketika ingin bergambar dengannya.
Sudah menjadi lumrah kehidupan, ada sahaja manusia yang tidak berpuas hati apabila seseorang tampil melakukan kebaikan dan begitulah yang menimpa Ustaz Ebit Lew. Mungkin mereka yang melaporkan Ustaz Ebit Lew kepada pihak polis ini tidak senang melihat ramai yang memuji usaha murninya. Apa-apa pun, semoga kita semua dijauhkan daripada sifat iri hati dengan kemuliaan orang lain.
Untuk baca artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah: