#DioramaAhad: Rindu Keluarga Atau Penting Diri? Pelajar IPT Rayu Kerajaan Benarkan Mereka Pulang Ke Rumah

Pada petang Jumaat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu perutusan khas memaklumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam membendung penularan pandemik COVID-19 akan dilanjutkan selama dua minggu iaitu dari 15 April sehingga 28 April 2020. Terdahulu, PKP yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu sepatutnya berakhir pada 14 April 2020. Menurut Perdana Menteri, keputusan ini dibuat atas nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pakar perubatan.

Meskipun keputusan yang diambil oleh pihak kerajaan ini sudah semestinya terbaik buat seluruh rakyat Malaysia, namun tidak semua yang dapat menerimanya dengan baik.

Sebaik sahaja pengumuman tersebut dibuat, tinjauan penulis di media sosial mendapati bahawa ia dipenuhi dengan luahan rata-rata penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang merayu kepada para menteri untuk membenarkan mereka pulang ke pangkuan keluarga. Masing-masing dilihat tertekan memikirkan kemungkinan yang mereka terpaksa menyambut Aidilfitri jauh dari keluarga di kampus masing-masing sekiranya PKP dilanjutkan lagi selepas 28 April nanti.

Pada masa yang sama, ada di antara mereka yang menyatakan rasa tidak puas hati dan mempersoalkan kenapa pelajar di luar negara dapat dibawa pulang sedangkan mereka yang berada di Malaysia masih terkandas di kampus masing-masing.

Tinjauan penulis di laman sosial Twitter juga mendapati ada segelintir yang tampil dengan cadangan agar pihak kerajaan membuat pelan tindakan untuk membawa pulang pelajar yang terkandas di kampus secara berperingkat.

Malah, Ahli Parlimen Muar iaitu Syed Saddiq dilihat turut bersetuju dengan cadangan tersebut apabila beliau memuat naik satu ciapan mengatakan sudah tiba masanya untuk kerajaan memulakan misi menghantar pulang mahasiswa secara berperingkat di seluruh negara.

Suara para pelajar ini turut mendapat perhatian Menteri Pengajian Tinggi iaitu Dato Dr. Noraini Ahmad. Beliau telah memuat naik satu ciapan di Twitter milik beliau sendiri berkenaan usaha yang akan dibincangkan bagi memastikan para pelajar dapat pulang ke kampung halaman masing-masing dengan selamat.

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengesahkan bahawa mereka sudah pun menerima cadangan tersebut. Namun begitu, ia perlu diteliti dan dikaji semua memandangkan jumlah pelajar yang terlalu ramai boleh mendatangkan risiko terutamanya ketika negara sedang berada dalam saat getir ini.

Gambar hanya sekadar hiasan.

Berkenaan hal ini, penulis sendiri memang menentang sekeras-kerasnya usaha dari mana-mana pihak untuk membawa pulang para pelajar yang terkandas ke rumah masing-masing. Hal ini demikian kerana ia bukannya akan membantu untuk membendung penularan wabak COVID-19 tetapi risikonya akan menjadi semakin tinggi. Apa gunanya PKP yang sudah berlangsung selama hampir sebulan sekiranya mereka ini tiba-tiba dibawa pulang ke kampung halaman? Apa gunanya pula petugas barisan hadapan mempertaruhkan nyawa mereka setiap hari sekiranya tindakan membenarkan pelajar pulang ini berpotensi menyebabkan penularan wabak COVID-19? Semua ini akan menjadi sia-sia belaka.

Jika para pelajar bercakap soal rindu, mereka perlu ingat bukan mereka sahaja yang melalui saat ini tanpa keluarga di sisi. Ramai lagi di luar sana termasuklah penulis sendiri yang tinggal di negeri orang dan jauh dari keluarga. Jika bercakap soal bosan pula, adakah orang lain tidak bosan?

Pendek kata, bukan mereka yang terkandas di kampus sahaja yang berada dalam pertempuran ini tetapi kita semua sama-sama melaluinya. Bezanya sekarang, ada yang pentingkan diri sendiri dan langsung tidak hiraukan impak yang bakal menanti sekiranya mereka tetap berkeras untuk pulang dan ada yang akur dengan saranan kerajaan untuk tidak ke sana dan ke sini. Tepuk dada dan tanya diri sendiri anda yang mana satu.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca