#DioramaAhad: Remaja Didenda Turunkan Pelitup Muka, Adakah Undang-Undang Hanya Terpakai Untuk Rakyat Biasa Sahaja?

Pandemik COVID-19 yang melanda negara sekali gus membuatkan kita semua terpaksa menjalani kehidupan dalam norma baharu. Selain penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka juga merupakan salah satu daripada norma baharu yang terpaksa kita jadikan kebiasaan setiap kali keluar dari rumah.

Malah, pemakaian pelitup muka di tempat awam dan sesak juga telah diwajibkan sejak 1 Ogos lalu selepas kes positif COVID-19 menunjukkan peningkatan dari hari ke hari serta kemunculan pelbagai kluster baharu yang kian membimbangkan. Mereka yang gagal berbuat demikian akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.

Baru-baru ini, seorang pengguna Twitter iaitu Hanif Jamal bertanyakan kepada pengikutnya sama ada perbuatan membuka pelitup muka buat seketika semasa berada di luar dibolehkan atau tidak.

Kemudian, seorang pengguna laman sosial itu yang dikenali sebagai Ihsan membalas ciapan Hanif Jamal dengan mengatakan perbuatan tersebut (membuka pelitup muka buat seketika) tidak boleh dilakukan ketika berada di luar. Jawapannya itu turut diiringi dengan sepotong video berdurasi 67 saat yang memaparkan seorang remaja dikenakan kompaun gara-gara menurunkan pelitup muka.

Sumber: Twitter Ihsan Complicated

Dalam video itu, remaja berkenaan dilihat menangis sebaik sahaja dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa. Ini sekali gus mengundang amarah warga Twitter di mana rata-ratanya menganggap tindakan yang diambil ke atas remaja berkenaan adalah keterlaluan memandangkan dia cuma menurunkan pelitup muka itu beberapa saat sahaja.

Semasa artikel ini ditulis, keratan video tersebut telah mencatat hampir 20 ribu ulang kicau dan 16 ribu tanda suka serta lebih empat juta tontonan. Malah, video itu juga telah mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang menentang sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa ke atas remaja berkenaan.

Dalam ciapan yang sama, Syed Saddiq turut mengaitkannya dengan VVIP yang bergambar di tempat sesak tetapi langsung tidak dikenakan tindakan.

Pada pendapat penulis, apa yang berlaku ini adalah penguatkuasaan yang berat sebelah kerana sebelum ini, ramai ahli politik yang tidak memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal sewaktu berada di tempat awam tetapi mereka tidak dikenakan apa-apa tindakan. Adakah gelaran ‘menteri’ menjadi tiket untuk mereka terlepas daripada dikenakan kompaun?

Kenyataan daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga masih segar dalam ingatan penulis di mana pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan di tempat awam yang sesak. Menurut beliau, pemakaian pelitup muka di kawasan luas tidak diwajibkan walaupun ia adalah amat digalakkan. Jadi, mengapa remaja di dalam keratan video tular itu disaman sedangkan dia tidak berada di tempat awam yang sesak?

Sumber: Twitter Azean Shafinaz

Jaga undang-undang itu memang betul tetapi diharapkan agar selepas ini, pihak berkuasa faham dengan apa yang Majlis Keselamatan Negera (MKN) sampaikan. Pada masa yang sama, penulis berharap agar pengeluaran kompaun atas kesalahan tidak memakai pelitup ini tidak hanya terpakai untuk rakyat biasa sahaja tetapi ia juga akan dikenakan terhadap ahli politik dan VVIP yang ingkar dengan perintah kerajaan dalam mengekang penularan wabak COVID-19.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel-artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca