#DioramaAhad: Permohonan Maaf Disusuli Perkataan ‘Tapi’, Warganet Dakwa Vivy Yusof Tidak Ikhlas

Sehingga ke hari ini, nama usahawan terkenal iaitu Datin Vivy Sofinas Yusuf masih menjadi topik perbualan hangat warganet selepas dia didakwa menghina golongan B40 dan M40 yang layak mendapat Bantuan Prihatin Nasional menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin oleh pihak kerajaan.

Terdahulu, tular tangkap layar memaparkan komen yang ditinggalkan Vivy di Instagram miliknya sendiri di mana rata-rata beranggapan bahawa isteri kepada Fadza Anuar itu bersetuju dengan keluhan daripada seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Aleeya Zailan. Wanita tersebut mengatakan bahawa golongan miskin sahaja yang bakal menjadi kaya selepas menerima bantuan kerajaan.

“Tepat sekali,” demikianlah balas Vivy terhadap komen Aleeya yang menjadi punca dirinya dihujani kecaman dan tohmahan daripada warganet.

Vivy yang berusia 32 tahun itu bagaimanapun tampil menjelaskan perkara sebenar dan menegaskan bahawa dia hanya bersetuju dengan kenyataan Aleeya yang mengatakan banyak perniagaan akan gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kos selepas penguatkuasaan PKP.

Namun begitu, penjelasan daripada Vivy itu tidak cukup untuk memadamkan api amarah orang ramai. Tinjauan penulis di ruangan komentar hantaran tersebut mendapati majoriti masih menuding jari terhadapnya dan menyifatkan Vivy sebagai seorang yang angkuh.

Tidak cukup dengan memboikot produk dari perniagaannya, FashionValet, terdapat juga individu yang tampil melancarkan petisyen mendesak agar jawatan Vivy sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) digugurkan secara serta merta. Petisyen tersebut telah berjaya meraih 230,446 tandatangan dalam masa beberapa hari sahaja. Untuk rekod, Vivy telah dilantik sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah universiti tersohor itu pada Mei tahun lalu.

Selepas beberapa hari mendiamkan diri, Vivy akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram miliknya. Menerusi video yang berdurasi tujuh minit 48 saat itu, Vivy mengatakan bahawa cemuhan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya amat melampau sehingga memerlukan dia mempertahankan diri.

Pada masa yang sama, Vivy turut menzahirkan rasa kesal terhadap pihak yang memulakan petisyen mendesaknya supaya meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM dan menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan serta kejam. Vivy juga berkata bahawa dia akan menyaman individu yang menyebarkan fitnah terhadap dirinya dan memulakan petisyen tersebut.

“Saya bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memutar belit kenyataan dan melancarkan petisyen minta saya meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM,” kata Vivy.

Namun begitu, tinjauan penulis di laman Twitter mendapati rata-rata menganggap permohonan maaf yang dibuat oleh Vivy itu tidak ikhlas. Hal ini demikian kerana terdapat perkataan ‘tapi’ menyusul setiap kali dia cuba mempertahankan dirinya dan memohon maaf dalam video tersebut.

Pada pendapat penulis, tindakan Vivy yang tampil memohon maaf secara terbuka adalah satu jalan yang tepat dalam hal ini. Namun begitu, penulis kurang bersetuju dengan tindakan Vivy yang mahu menyaman individu yang memulakan petisyen mendesaknya agar meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM. Ia bukannya membantu meletakkan titik noktah terhadap kontroversi ini tetapi tindakan itu makin membuatkan orang ramai menyampah.

Pada penulis, penggunaan ‘tapi’ setiap kali Vivy cuba menjelaskan sesuatu juga seolah-olah memberi tanggapan yang dirinya tidak pernah salah.

Apa-apa pun, diharapkan agar perkara ini dapat dijadikan iktibar buat semua. Ingat, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Untuk baca artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca