#DioramaAhad: “Pelajar IPT Harus Lebih Fleksibel Pilih Pekerjaan,” Kenyataan MEF Ini Undang Ketidakpuasan Hati Graduan

Beberapa hari yang lepas, kenyataan daripada Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) iaitu Datuk Shamsuddin Bardan yang menyatakan bahawa para pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu berfikir di luar kotak untuk berjaya di dunia pekerjaan yang lebih mencabar ketika pasca COVID-19 ini telah menerima pelbagai reaksi daripada warganet. Rata-rata pengguna di laman sosial Twitter tampil menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kenyataan yang dituju kepada generasi pelapis masyarakat itu.

Datuk Shamsuddin Bardan sebelum ini menegaskan bahawa pelajar-pelajar IPT seharusnya lebih fleksibel dalam memilih bidang pekerjaan yang akan diceburi. Sebagai contoh, kalau katakan seseorang itu mengambil bidang sains, tidak ada sebarang halangan untuk pelajar ini menjadi seorang pengusaha produk digital. Kata beliau, kita harus menerima apa jua cabaran yang datang dan mungkin membuat sesuatu yang kita tidak mimpikan langsung untuk membuatnya.

Sebaik sahaja membaca kenyataan tersebut, penulis sendiri faham mengapa ia telah menimbulkan amarah dalam diri majoriti warganet. Tidak dinafikan, penularan pandemik COVID-19 telah memberi impak dalam pelbagai sektor di negara kita, khususnya dalam sektor ekonomi dan pekerjaan di mana ia sekali gus membawa kepada peningkatan kadar pengangguran.

Namun begitu, realiti yang berlaku sekarang dan sebelum negara kita diserang wabak COVID-19 adalah memang sudah ramai graduan yang bekerja di luar bidang masing-masing. Kadang-kadang, bukannya peluang pekerjaan itu tiada tetapi selalunya, majikan mahukan mereka yang berpengalaman untuk mengisi kekosongan tersebut. Persoalannya, bagaimana seorang graduan mampu meraih pengalaman bekerja sekiranya tidak diberi peluang untuk berbuat demikian?

Kesudahannya, ramai yang memilih untuk bekerja di luar bidang masing-masing meskipun ia bagaikan langit dengan bumi dengan apa yang dipelajari di menara gading.

Jadi, bagi penulis, menyatakan para graduan perlu berfikir di luar kotak dan lebih fleksibel dalam memilih pekerjaan adalah tidak patut sama sekali. Fleksibel bagaimana yang majikan mahukan sekiranya peluang buat para graduan pun tiada?

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel-artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca