#DioramaAhad: Mira Filzah Dikecam Pakai Sari, Kenapa Perlu Bangkitkan Isu Perkauman Di Bulan Kemerdekaan?

Beberapa hari lepas, nama pelakon dan pengacara terkenal tanah air iaitu Mira Filzah menjadi trending di media sosial gara-gara satu foto memaparkan dirinya memakai pakaian tradisional kaum India.

Foto yang pada mulanya dilihat sebagai hanya foto biasa itu akhirnya berubah menjadi isu dan bahan perdebatan warganet selepas seorang pengguna Twitter mendakwa pelakon jelita tersebut cuba untuk mengeksploitasi budaya kaum India dengan memakai pakaian tradisional lehenga bagi mempromosikan produk kanta mata.

Menerusi satu ciapan di Twitter, pengguna laman sosial itu memuat naik tangkap layar foto Mira yang diambil daripada Instagram pelakon itu sendiri dan menulis, “Cultural appropriation queen must feel nice to profit off our culture.”

Kenyataan yang dibuat oleh wanita itu telah menerima pelbagai reaksi daripada warganet di mana rata-ratanya menyifatkannya sebagai dakwaan yang langsung tidak berasas memandangkan kita semua tinggal di negara yang berbilang kaum dan berkongsi pelbagai budaya.

Sumber: Instagram Mira Filzah

Melihat foto tersebut menjadi perdebatan yang tidak berkesudahan, pelakon berusia 27 tahun itu dengan rendah diri tampil memohon maaf sekiranya ada yang kurang senang dengan tindakannya itu kerana dia enggan mengguris hati mana-mana pihak.

Menurut Mira yang popular menerusi drama Sweet Dream itu, dia langsung tidak berniat untuk menimbulkan sebarang isu menerusi penampilannya yang menyarung pakaian tradisional pengantin wanita masyarakat India itu. Pada masa yang sama, Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman berpendapat bahawa Malaysia mempunyai pelbagai bangsa dan budaya, lalu tidak menjadi masalah jika rakyat negara ini mencuba pakaian kaum lain.

Pada pendapat penulis, perkara ini bukanlah sesuatu yang perlu dijadikan isu. Perdebatan ini hanya membawa getaran negatif kepada negara kita yang tidak lama lagi akan menyambut Hari Kebangsaan ke-63. Sudah hampir 63 tahun negara kita merdeka, kenapa masih perlu bangkitkan isu perkauman, lebih-lebih lagi hanya kerana pakaian?

Isu ini telah digembar-gemburkan lebih daripada skala yang sepatutnya. Bagi penulis, tiada salahnya untuk kita mengenakan pakaian atau apa-apa sahaja yang melibatkan kaum lain selagi kita menghormati dan tidak melanggar norma serta sosio budaya masing-masing.

Diharapkan agar tiada lagi isu perkauman dibangkitkan selepas ini. Sebagai negara yang berbilang kaum, kita sepatutnya menggunakan peluang ini untuk menzahirkan apresiasi terhadap semua bangsa dan budaya. Apa yang Malaysia kecapi pada hari ini bukannya sesuatu yang kita boleh lihat di negara-negara lain. Jadi, sama-sama kita menghormati dan meraikan perbezaan serta keunikan setiap kaum di Malaysia.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel-artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca