Search
Close this search box.

#DioramaAhad: Mimpi Jadi Realiti, Ini Kisah Di Sebalik Pencapaian 2 Juta Pembaca Di iamlejen.com

Dilancarkan pada 31 Julai 2018, portal I Am Lejen kini telah berjaya meraih lebih lima juta paparan halaman dan dua juta pembaca. Meskipun ia hanya sekadar angka, jerih perih untuk sampai ke tahap ini hanya kami yang mengerti.

It does not matter how slowly you go as long as you do not stop,” demikianlah ungkapan seorang ahli falsafah Cina yang boleh menggambarkan perjalanan kami dalam industri digital ini. Pada awal kewujudan portal I Am Lejen, jangankan 10 peratus daripada jumlah paparan halaman bulanan sekarang, satu peratus pun tidak sampai. Tetapi itu sama sekali tidak mematahkan semangat kami untuk terus dan terus menulis.

Kadang-kadang, kita perlu toleh ke belakang untuk lihat kembali segala kesusahan yang terpaksa ditempuhi sebelum ini kerana semua itulah yang membawa kepada pencapaian sekarang. Semasa portal I Am Lejen masih hijau dalam industri ini, melihat ada artikel yang berjaya mencatat 100 paparan halaman pun sudah membuatkan kami senyum sampai ke telinga. Kepuasan dan kegembiraan yang terbit dari hati hanya Tuhan sahaja yang mengerti.

Jika dahulu sebut sahaja portal I Am Lejen, kebanyakannya akan terpinga-pinga seraya menyoal, “Apa itu?” Berdasarkan pengalaman saya sendiri sebagai salah seorang penulis terawal di portal ini, terdapat segelintir yang beranggapan kerjaya ini langsung tidak mencabar. Apa yang mereka lihat, kerja saya hanya sekadar menulis semata-mata. Realitinya, ia tidak semudah seperti yang disangkakan.

Menjadi portal yang terawal menyampaikan sesuatu berita kepada pembaca adalah antara salah satu cabaran dalam industri ini. Memastikan tagline ‘Tular & Terkini’ bukan sekadar omongan kosong merupakan sebahagian daripada tugas saya. Ada kalanya saya terpaksa korbankan masa cuti bagi memastikan portal terus diisi dengan tulisan tular dan terkini untuk para pembaca.

Salah satu artikel yang saya tulis pernah dilabel sebagai artikel sampah oleh pembaca. Meskipun komen itu agak pahit untuk ditelan, saya memilih untuk melihat ia dari sudut positif. Sudah menjadi lumrah kehidupan, kita tidak akan boleh puaskan hati semua orang.

Tanggal 31 Ogos 2019 merupakan tarikh bersejarah buat team Lejen Press Digital di mana portal I Am Lejen berjaya meraih lebih satu juta paparan halaman buat pertama kalinya dalam tempoh sebulan. Berkat usaha dan juga teamwork daripada Lejen Backbones, angka yang kami impikan selama ini benar-benar menjadi realiti. Bak kata K-Clique, betul-betul macam mimpi.

Meskipun pada saat itu mimpi kami sudah pun menjadi realiti, kami tidak berhenti setakat itu sahaja. Pencapaian itu kami jadikan sebagai titik tolak untuk terus mengorak langkah ke angka yang lebih tinggi. Tidak dinafikan, mahukan sesuatu memang mudah tetapi untuk dapatkannya tidak semudah itu.

Jadi, bagi memastikan impian untuk melihat jumlah paparan halaman dan pembaca portal I Am Lejen terus bertambah dari masa ke masa bukan sekadar angan-angan, kami jadikan konsistensi dan usaha keras sebagai acuan.

Pernah suatu masa kami diuji di mana pautan www.iamlejen.com disekat di media sosial yang menjadi platform untuk kami kongsikan artikel-artikel yang diterbitkan. Semua ini memberikan kesan kepada perjalanan kami tetapi sepertimana tunjang utama Lejen Press Digital iaitu Aisa Benasri sering katakan, “There must be a way. Tak ada masalah di dunia ini yang tak boleh selesai. Kita tak boleh selesa di satu tempat semata-mata. Kalau cara ini tak berkesan, cari cara lain.”

Dengan menjadikan pesanan itu sebagai bekalan, segala onak dan duri kami berjaya tempuhi akhirnya membawa portal I Am Lejen ke tahap sekarang.

Saya mewakili seluruh team Lejen Press Digital ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada dua juta pembaca yang sudi meluangkan masa membaca portal I Am Lejen. Tanpa anda semua, siapalah kami. Bunyinya memang agak klise tetapi itulah kenyataan. Tanpa dua juta orang pembaca ini, tiadalah angka lima juta paparan halaman yang menjadi nadi kekuatan kami semua. Akhir kata, I love you two million!

Artikel Lain Untuk Di Baca