#DioramaAhad: Masih Sakan Beraya Dan Tayang Di Media Sosial, Segelintir ‘Influencer’ Undang Amarah Warganet

Rasanya, semua rakyat Malaysia tahu yang pihak kerajaan telah menetapkan bahawa aktiviti ziarah-menziarahi pada setiap perayaan dalam masa terdekat ini termasuklah sambutan Aidilfitri hanya dihadkan pada hari pertama sahaja. Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa aktiviti itu juga cuma terhad kepada 20 orang yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat sahaja.

Namun begitu, sudah menjadi lumrah segelintir masyarakat kita di mana ada yang pentingkan diri sendiri dan keras kepala tetap mahu pergi keluar beraya. Biasalah, apa yang dilarang, itulah yang tetap mahu dibuat. Bukan bulan Syawal kalau tak keluar beraya katanya, soal bahaya dan nyawa letak belakang.

Malah, tinjauan penulis di media sosial mendapati terdapat individu yang mempunyai ramai pengikut di media sosial dan digelar sebagai influencer turut melakukan perkara ini tanpa sebarang rasa bersalah. Tidak cukup dengan itu, mereka turut memuat naik foto dan video memaparkan aktiviti ziarah-menziarahi ke rumah rakan-rakan meskipun pihak kerajaan sudah menegaskan ia hanya boleh dilakukan pada hari raya pertama sahaja.

Persoalannya, adakah mereka tidak tahu tentang peraturan yang sudah ditetapkan kerajaan ini atau buat-buat tidak tahu? Tetapi mana mungkin tidak tahu kerana sudah nama pun influencer, pasti hari-hari mereka berada di media sosial di mana segala perkembangan terbaharu tentang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikemas kini dari masa ke masa.

Mereka ini digelar influencer kerana diri mereka mampu mempengaruhi para pengikut untuk melakukan sesuatu. Bagi penulis, mereka sepatutnya menggunakan gelaran tersebut menerusi platform yang ada untuk memberi contoh yang baik kepada pengikut masing-masing. Bukan apa, risau ramai yang beraya ke sana ke sini dengan alasan, “Influencer boleh buat, kenapa orang lain tak boleh?”

Gambar hanya sekadar hiasan.

Apa-apa pun, tujuan penulis menyuarakan pendapat tentang perkara ini bukanlah untuk memburukkan mana-mana pihak tetapi ia lebih kepada peringatan kepada semua termasuklah diri sendiri. Apa yang baik, kita contohi dan apa yang salah, jangan sesekali kita ikut.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel-artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca