#DioramaAhad: Mampukah Pelaksanaan PKPP Perangi Wabak COVID-19 Di Malaysia?

Pada 10 Jun lalu, pihak kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selepas tamatnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Sepanjang tempoh PKPP yang bakal berkuat kuasa sehingga 31 Ogos ini, lebih banyak kelonggaran yang diberikan kerajaan kepada seluruh rakyat berbanding sebelum ini.

Kelonggaran tersebut termasuklah kebenaran untuk merentas negeri dan melakukan aktiviti pelancongan. Keputusan ini sekali gus membuka peluang kepada industri pelancongan untuk kembali beroperasi dengan masing-masing sudah bersiap sedia mematuhi kebiasaan baharu. Pada masa yang sama, kedai gunting rambut turut dibenarkan beroperasi seperti biasa dengan syarat masing-masing perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Jun lalu sudah tentu membuat ramai pihak menangis gembira terutamanya golongan bujang yang akhirnya dibenarkan untuk pulang ke pangkuan keluarga di kampung. Sektor ekonomi yang agak merudum sejak beberapa bulan lepas juga dilihat bakal menemui cahaya di hujung terowong dengan kelonggaran yang diberikan kali ini.

Persoalannya, adakah negara kita akan mampu memerangi wabak COVID-19 dalam keadaan sekarang? Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham, Malaysia akan diisytiharkan bebas COVID-19 sekiranya tiada kes dalam tempoh 28 hari berturut-turut.

Tinjauan penulis di media sosial mendapati bahawa ada yang beranggapan bahawa pelaksanaan PKPP ini hanya akan memburukkan lagi keadaan. Pada pendapat penulis, keputusan yang dibuat kali ini adalah wajar kerana kerajaan tidak boleh ‘kurung’ rakyat sehingga wabak ini betul-betul tiada. Kita tidak tahu bila COVID-19 akan lenyap kerana sehingga sekarang, vaksin pun masih belum dapat dibangunkan.

Jadi, sekiranya PKPP tidak dilaksanakan, sudah pasti ekonomi negara akan terjejas dan makin ramai yang akan hilang punca pendapatan. Jika dilihat semula, pelaksanaan PKPP ini sebenarnya adalah untuk menjana semula ekonomi negara yang sangat terkesan sebelum ini. Cumanya, kita kena biasakan diri untuk hidup dalam norma baharu. Tiada lagi kehidupan seperti sebelum ini kerana kita masih belum menang.

Berhentilah menuding jari kepada pihak kerajaan atau mana-mana pihak dalam apa jua perkara sekalipun. Sekarang, tanggungjawab memerangi COVID-19 bukan hanya terletak pada kerajaan dan petugas barisan hadapan tetapi ia menjadi tanggungjawab yang harus digalas setiap seorang daripada kita. Dalam erti kata lain, kita adalah ‘petugas barisan hadapan’ yang perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing. Kita jaga kita, kita mesti menang.

Dalam pada itu, bagi mereka yang berasakan Malaysia masih belum cukup hebat untuk meletakkan titik noktah terhadap penularan wabak COVID-19, mungkin anda patut tonton video di bawah.

Untuk baca artikel-artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca