#DioramaAhad: Kenapa Bukan Melayu Takut Pada Tulisan Jawi?

Tulisan jawi telah digunakan masyarakat Melayu di Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu sejak ratusan tahun dahulu. Dalam erti kata lain, ia boleh dilihat sebagai identiti orang Melayu. Malah, tulisan Jawi kini kekal sebagai salah satu lambang negara di mana ia diabadikan dalam Jata Negara, wang kertas ringgit, jata negeri serta Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957.

Pada bulan Ogos lalu, pengumuman kerajaan untuk memasukkan pengenalan tulisan Jawi dalam subjek bahasa Melayu bagi murid Tahun 4 sekolah vernakular telah menerima pelbagai reaksi orang ramai termasuklah bantahan daripada segelintir pihak terutamanya kumpulan pendidikan Cina seperti Dong Zong dan Jiao Zong.

Malah, pemimpin Democratic Action Party (DAP) iaitu Lim Lip Eng bertindak mempersendakan tulisan Jawi menerusi satu posting di laman Facebook di mana dia menyamakannya dengan menyapu baja tahi lembu ke muka sendiri.

Sikap mereka yang membantah tulisan Jawi ini telah mengundang pelbagai reaksi daripada warganet sehingga golongan ini dilabel sebagai rasis dan mempunyai simptom Islamophobia. Penentangan terhadap tulisan Jawi tidak sepatutnya berlaku dalam negara yang menjunjung Islam di dalam Perlembagaan Malaysia.

Salah satu punca utama ada pihak yang bertindak keras membantah perkara ini adalah kerana wujud rasa bimbang dalam diri mereka tentang penyebaran agama Islam menerusi tulisan Jawi. Persoalannya, bagaimana dengan hanya tiga muka surat ini boleh membawa kepada penyebaran Islamisasi kepada anak-anak bukan bangsa Melayu?

Penulis sendiri pernah menghadiri kelas untuk mempelajari tulisan Cina selama tiga semester. Tidak pernah ada isu iman dalam diri menjadi senipis kulit bawang atau terlintas untuk bertukar agama kerana apa yang dipelajari hanyalah sekadar tulisan semata-mata. Sama juga seperti Jawi, ia hanyalah tulisan dan tulisan ini tidak akan membawa kepada pengaruh Islamisasi kepada bangsa lain.

Dalam pada itu, tinjauan penulis di media sosial mendapati ada segelintir pihak yang berpendapat bahawa tulisan Jawi langsung tiada guna dan tiada nilai. Adakah mereka yang mencoret komentar sombong ini sedar yang sebuah negara terkaya di muka bumi iaitu Brunei sudah lama memartabatkan tulisan Jawi? Jadi, apakah alasan untuk mengatakan tulisan Jawi tidak berguna dan tiada nilai?

Kesimpulannya, tulisan Jawi merupakan warisan negara yang sepatutnya dihormati oleh setiap individu yang mengaku diri mereka sebagai rakyat Malaysia. Kenapa perlu takut dengan Jawi sedangkan ia cuma tulisan?

Bagi menunjukkan sokongan terhadap tulisan Jawi, team Lejen TV baru-baru ini tampil dengan satu cabaran iaitu teka lagu dalam tulisan Jawi. Anda boleh tonton video di bawah.

Untuk baca artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca