#DioramaAhad: Isu Tali Leher Sutera, Bagaimana Vivy Yusof Dan dUCk Boleh Terlepas Pandang?

Sebelum ini, nama usahawan terkenal iaitu Datin Vivy Sofinas Yusuf menjadi topik perbualan hangat warganet selepas dia didakwa menghina golongan B40 dan M40 yang layak mendapat Bantuan Prihatin Nasional menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin oleh pihak kerajaan. Belum sempat isu tersebut reda, pengasas bersama FashionValet itu kemudiannya menerima kecaman hebat selepas didakwa meniru idea rekaan tudung jenama tempatan.

Terbaharu, nama Vivy dan jenama dUCk menjadi trending di laman sosial Twitter beberapa hari lalu selepas jenama itu melancarkan tali leher edisi istimewa sempena sambutan Hari Bapa. Difahamkan, tali leher itu adalah kolaborasi bersama Marvel (Marvel x dUCk). Apa yang mengundang kecaman orang ramai adalah apabila tali leher yang dijual pada harga RM300 itu diperbuat 100 peratus daripada kain sutera.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Dalam Islam, lelaki memang diharamkan untuk memakai sutera. Malah, tinjauan penulis di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mendapati bahawa perihal lelaki dan sutera ini sudah pun dijelaskan berserta dengan hadis. Maka, tidak hairanlah mengapa Vivy dan seluruh team dUCk menerima hentaman daripada orang ramai gara-gara isu ini.

Mungkin perkara ini masih boleh diterima jika ia dilakukan oleh jenama lain yang bukan milik Muslim. Tetapi dalam isu ini, Vivy sendiri merupakan seorang yang beragama Islam dan kebanyakan produk keluaran dUCk memang disasarkan kepada pengguna Muslim.

Tinjauan penulis di media sosial mendapati ada segelintir yang masih menyebelahi Vivy dengan mengatakan terdapat team dUCk yang bukan beragama Islam dan mungkin mereka yang terlepas pandang terhadap perkara ini.

Bagi penulis, alasan tersebut adalah langsung tidak masuk akal kerana dalam setiap perniagaan atau organisasi, apa jua perkara dan keputusan sekalipun mesti diluluskan oleh pihak atasan. Dalam hal ini, sudah tentu Vivy sendiri yang memberi ‘lampu hijau’ terhadap idea tali leher Marvel x dUCk yang datang dengan lima warna itu.

Sepatutnya, Vivy dan seluruh team dUCk tidak boleh terlepas pandang perkara sebegini, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan isu agama. Sesuatu yang melibatkan agama ini bukannya perkara yang boleh dipandang remeh.

dUCk bagaimanapun telah menghentikan penjualan produk ini selepas isu tersebut menjadi tular. Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Instagram, dUCk tampil memohon maaf dan menyatakan bahawa mereka akan memulangkan semula wang kepada para pelanggan yang sudah membuat bayaran. Dalam hantaran yang sama, semua tali leher Marvel x dUCk dikatakan akan diberi kepada petugas barisan hadapan yang bukan beragama Islam.

Meskipun penulis sendiri berasakan isu sebegini tidak sepatutnya berlaku, namun tindakan pantas yang diambil oleh dUCk wajar dipuji. Diharapkan agar apa yang berlaku ini dapat dijadikan sebagai pengajaran bukan sahaja buat Vivy dan dUCk sendiri tetapi kita semua.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel-artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca