#DioramaAhad: Isu Mural Gergasi Pemimpin Negara Diconteng, Ke Mana Hilangnya Rasa Hormat Si Pelaku?

Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah video memaparkan mural gergasi wajah pemimpin dan ikon negara di kawasan komersial Taman Cahaya Alam U12 yang komited menangani pandemik COVID-19 diconteng dengan kata-kata kesat. Video berdurasi 14 saat yang dimuat naik oleh @MrJamesLabu di laman sosial Twitter itu telah mengundang amarah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Semasa artikel ini ditulis, ciapan tersebut telah meraih lebih 28,000 ulang kicau manakala video itu pula mencatat hampir satu juta tontonan. Rata-rata menyifatkan perbuatan itu sebagai biadap dan tidak bertanggungjawab. Persoalannya, ke mana hilangnya rasa hormat si pelaku kepada para pemimpin negara?

Sumber: Twitter @MrJamesLabu

Selepas perbincangan antara pihak berkuasa dan juga para pelukis, mereka akhirnya mencapai kata sepakat untuk memadam mural tersebut. Sekiranya mural tersebut diperbaiki atau di-touch up, tidak mustahil untuk si pelaku mengulangi perbuatan yang sama.

Difahamkan, mural tersebut mula dihasilkan oleh tiga orang pelukis sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana ia membabitkan tiga ikon iaitu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Penguatkuasaan PKP membuatkan mereka terpaksa akur dengan perintah kerajaan dan berhenti berkarya buat seketika. Sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula, mereka merancang untuk sambung semula lukisan itu dan pandemik COVID-19 yang melanda negara kita sekali gus mencetuskan idea buat mereka.

Akhirnya, masing-masing bersetuju untuk menambah ikon penting yang terbabit dalam menangani COVID-19 iaitu Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Seri Dr. Noor Hisham dan juga Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mural gergasi itu akhirnya siap sepenuhnya pada penghujung bulan Jun lalu dan ia menerima reaksi positif serta pujian daripada seluruh rakyat Malaysia. Masing-masing termasuklah Dr. Noor Hisham sendiri tidak melepaskan peluang untuk bergambar berlatarbelakangkan hasil seni yang penuh makna itu.

Sumber: Twitter @MrJamesLabu

Namun begitu, semua ini ternyata hanya sementara apabila muncul pula individu tidak bertanggungjawab yang bertindak merosakkan mural itu dan mencontengnya dengan kata-kata kesat. Rasa bangga bertukar menjadi sedih, marah dan malu melihatkan apa yang terjadi.

Tinjauan penulis di media sosial mendapati ada yang mengatakan bahawa wajah-wajah pemimpin dan ikon negara terutama sekali Yang di-Pertuan Agong memang tidak sepatutnya dijadikan sebagai mural kerana perkara sebegini (vandalisme) pasti akan berlaku. Katanya, jika ingin letak gambar Tuanku di pejabat pun perlu mengikut protokol.

Sumber: Instagram @istana_negara

Pada pendapat penulis, sekiranya Yang di-Pertuan Agong dan kerabat sendiri telah mencemar duli melawat mural ini, siapa kita untuk berhujah tentang protokol lagi? Permasalahan sekarang bukannya terletak pada di mana mural ini dilukis tetapi di mana rasa hormat dalam diri si pelaku. Kalau tidak suka sekalipun dengan para pemimpin dan ikon yang terpapar pada mural berkenaan, butakan sahaja mata dan simpan di dalam hati.

Apa-apa pun, penulis berharap agar si pelaku akan dibawa ke muka pengadilan dan menerima balasan yang setimpal atas perbuatannya. Ini bukannya kesalahan biasa yang kita boleh sekadar tutup mata. Ini adalah penghinaan kepada pemimpin negara.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel-artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca