#DioramaAhad: Isu Muhammad Sajjad Bertelekung Di Makkah Ada Banyak Hikmah

Kontroversi yang melibatkan usahawan kosmetik popular Malaysia, Nur Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman masih lagi menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan warganet sehingga ke hari ini. Buka sahaja mana-mana media sosial, pasti foto Sajat bertelekung di Makkah melintas di timeline diiringi dengan kecaman dan tohmahan. Tidak kurang juga, ada segelintir yang memilih untuk berpihak kepada Sajat dengan menggunakan hak kesaksamaan sebagai ‘senjata’.

Tujuan artikel ini ditulis bukanlah untuk mengecam sesiapa tetapi ia lebih kepada pendapat penulis sendiri berdasarkan pemerhatian yang dilakukan sejak isu ini mula tular. Setiap apa yang kita lakukan pasti ada impaknya. Sekiranya apa yang dilakukan itu tidak mengaitkan orang atau perkara lain maka tiada sebab untuk orang ramai melemparkan kecaman bagai tiada hari esok kepada individu terbabit. Dalam hal ini, tindakan Sajat bukan sahaja memakan dirinya tetapi ia turut memberi tempias buruk kepada agama Islam dan juga negara kita.

Bagi penulis, bersetuju atau tidak dengan apa yang Sajat lakukan adalah hak masing-masing. Tetapi adalah tidak wajar untuk mengaitkan isu hak kesaksamaan dalam hal ini kerana apa yang mengundang kemarahan orang ramai bukannya kerana golongan mak nyah dan pondan pergi menunaikan umrah tetapi tindakan mereka yang mengenakan pakaian wanita dan beribadah di ruangan wanita. Penulis bukanlah seorang yang handal dalam bab agama untuk berbicara soal ini tetapi sudah terang lagi bersuluh bahawa tindakan itu adalah salah dan kesannya turut terpalit kepada orang lain.

Setiap yang berlaku bagaimanapun ada hikmahnya dan begitu juga dengan isu Sajat ini. Ia mengajar kita supaya sentiasa memberi bimbingan dan pendedahan kepada golongan pondan dan juga mak nyah. Golongan ini tidak disekat untuk pergi ke Tanah Suci kerana rumah Allah ini terbuka buat sesiapa sahaja. Cumanya, setiap seorang daripada kita perlu faham yang semua tempat di muka bumi ini ada undang-undang dan peraturannya. 

Rasanya, sudah tiba masa untuk masyarakat berhenti menggunakan kata-kata penghinaan untuk mengecam golongan berkenaan. Memberi teguran itu tidak salah tetapi menegur juga ada caranya. Tidak dinafikan, untuk berubah memang susah tetapi mereka perlu lakukannya. Lambat atau cepat, perubahan itu akan datang dengan sendiri sekiranya kita membantu untuk membimbing mereka ke jalan yang benar. Apa-apa pun, semoga kita semua diberikan hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel lain berkenaan isu Muhammad Sajjad bertelekung di Makkah, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Untuk baca artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca