#DioramaAhad: Polisi Menutup Aurat Bagi Pramugari Yang Dibangkitkan Siti Zailah Terima Pelbagai Reaksi Daripada Warganet

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga iaitu Siti Zailah Mohd Yusoff mengatakan bahawa beliau akan cuba untuk merealisasikan pelaksaan polisi menutup aurat buat pramugari. Dalam masa terdekat ini, beliau dikatakan akan membuat kunjungan hormat ke pejabat menteri agama, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri untuk berbincang lebih lanjut mengenai polisi yang terdahulu pernah diperjuangkan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam Dewan Rakyat sewaktu mereka menjadi pembangkang.

“Insya-Allah, saya akan membuat kunjung hormat dalam masa terdekat ke pejabat menteri agama dan saya yakin perkara ini pun sudah ada dalam agenda mereka,” kata Siti Zailah.

Sumber: The Star

Pada masa yang sama, beliau yang merupakan anggota Parlimen Rantau Panjang itu menegaskan bahawa polisi patuh syariah itu hanya untuk orang Islam sahaja. Mereka yang bukan beragama Islam sama sekali tidak akan dipaksa untuk berpakaian sopan.

Untuk rekod, Siti Zailah sebelum ini pernah beberapa kali membangkitkan polisi yang membolehkan krew kabin menutup aurat diwajibkan ke atas semua syarikat penerbangan di negara kita.

Tegas Siti Zailah, menutup aurat merupakan perintah Allah SWT dan diwajibkan ke atas semua Muslim.

Sumber: The Star

Tinjauan penulis di media sosial mendapati perkara ini telah menerima pelbagai reaksi daripada warganet di mana majoritinya tidak bersetuju dengan polisi yang dicadangkan oleh Siti Zailah. Ramai yang berpendapat bahawa lebih banyak isu lain yang lebih penting perlu diperjuangkan berbanding isu pakaian seragam anak kapal. Malah, ada yang berasakan sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk memperjuangkan perkara tersebut memandangkan negara kita sedang bergelut dengan penularan wabak koronavirus atau nama rasminya, COVID-19 yang semakin membimbangkan.

“Kalau dah menteri cap ayam, benda-benda cakar ayam yang diutamakan,” demikianlah coretan salah seorang pengguna Twitter yang berjaya mencuri perhatian penulis.

Bagi penulis, setuju atau tidak dengan sesuatu perkara adalah hak seseorang individu tetapi mengatakan menutup aurat sebagai perkara ‘cap ayam’ adalah tidak patut sama sekali.

Sumber: Astro Awani

Isu yang diperjuangkan Siti Zailah ini pada pendapat penulis bukanlah sesuatu yang patut dipandang enteng kerana percaya atau tidak, ada krew kabin yang menyuarakan hasrat untuk mengenakan hijab tetapi tidak dibenarkan syarikat penerbangan. Malah, ramai wanita yang berhijab di luar sana ingin bekerja sebagai krew kabin tetapi hasrat itu terpaksa dilupakan gara-gara polisi pakaian syarikat penerbangan di Malaysia.

Walau bagaimanapun, penulis rasa adalah lebih baik jika semua krew kabin diberi pilihan sama ada mereka mahu berpakaian sopan dan menutup aurat atau kekal dengan pakaian seragam sekarang. Kita perlu ingat, tiada siapa yang suka dengan perubahan yang drastik. Mahukan perubahan untuk berlaku adalah tidak salah tetapi lebih baik jika ia dimulakan dari bawah, sedikit demi sedikit daripada terus memaksa semua krew kabin untuk menutup aurat dengan sempurna.

Apa-apa pun, setiap orang mempunyai pendapat yang tersendiri. Diharapkan agar jalan terbaik buat semua pihak dapat diambil dalam hal ini.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca