#DioramaAhad: Ini Luahan Hati Anak Perantau Beraya Di Negeri Orang

Segelintir rakyat Malaysia masih lagi berpusu-pusu membanjiri lebuh raya utama untuk pulang beraya ke kampung meskipun pihak kerajaan baru-baru ini memutuskan tidak membenarkan sama sekali pergerakan merentas negeri bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19. Mereka yang cuba untuk merentas negeri bukan sahaja akan diarah berpatah balik malahan turut dikenakan kompaun serta-merta di sekatan jalan raya.

Keras kepala dan penting diri, inilah ungkapan paling sesuai untuk mengambarkan peribadi segelintir masyarakat kita. Apa yang dilarang, itulah yang tetap mahu dibuat. Pelbagai jenis alasan yang diberikan kepada pihak berkuasa. Apa yang penting, mereka dapat pulang beraya. Soal bahaya dan nyawa letak belakang, raya cuma setahun sekali katanya.

Baru-baru ini, penulis ada terbaca satu kenyataan daripada seorang aktivis sosial yang menyatakan ramai orang mengadu ingin pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri kerana mereka takut tidak sempat minta maaf kepada keluarga dan saudara terdekat. Ada yang mengatakan telefon saja tidak cukup kerana konsep bertemu muka minta maaf lebih relevan ketika hari raya.

Penulis sendiri bukanlah seorang yang handal bab agama tetapi sepanjang 24 tahun bernafas di muka bumi ini sebagai seorang Muslim, tiada hukum dalam Islam yang menyatakan umat Islam wajib menyusun sepuluh jari memohon keampunan pada hari raya pertama.

Apa yang penulis lihat, budaya dan agama kini sudah bercampur-baur. Tiada hukum agama yang menetapkan kita cuma boleh memohon kemaafan pada hari raya. Sebaliknya, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja tidak kiralah menerusi apa jua medium sekalipun.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bukanlah penghalang untuk kita semua tidak memohon maaf dek kerana tidak boleh pulang ke kampung. Dengan teknologi yang kini semakin canggih, mereka yang jauh boleh didekatkan dengan kemudahan yang ada. Bak kata Rosyam Nor, “Video call aje.”

Sekiranya permohonan maaf itu datang dari hati yang penuh dengan keikhlasan, pasti ia akan sampai jua kepada mereka yang ingin disampaikan itu meskipun mereka jauh di mata. Apa yang penting adalah niat. Kalau jumpa depan-depan tetapi maaf yang dipinta hanya sekadar wayang di pagi raya semata-mata, maka tiada guna juga.

Tidak dapat bersama pada hari raya tidak bermaksud hati kita berjauhan. Penulis juga terpaksa beraya di negeri orang pada tahun ini buat pertama kalinya. Memikirkan ibu seorang diri di kampung, memang sayu hati. Tetapi kesihatan dan nyawa orang yang kita sayang jauh lagi penting berbanding segalanya termasuklah sambutan Aidilfitri.

Tidak mengapa, sekiranya dipanjangkan umur, sama-sama kita doakan agar dunia sudah bebas daripada wabak COVID-19 dan kita semua dapat pulang beraya ke kampung tahun hadapan. Buat masa sekarang, sabar dahulu kerana kita masih belum menang lagi.

Dalam pada itu, penulis ingin mengucapkan Salam Aidilfitri kepada semua pembaca yang sudi meluangkan masa membaca coretan anak perantau ini. Jaga diri, semua!

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel-artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca