Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) iaitu Datuk Liew Vui Keong memaklumkan bahawa Kabinet secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mengenakan hukuman yang lebih berat iaitu penjara selama 20 tahun kepada pemandu yang didapati bersalah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian terhadap pengguna jalan raya lain.
Berita ini telah menerima pelbagai reaksi daripada warganet di mana rata-rata menyokong hukuman yang bakal menanti mereka yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga membuat nyawa orang yang tidak bersalah melayang. Pada masa yang sama, ada juga yang berpendapat bahawa hukuman itu tidak cukup jika dibandingkan dengan nyawa mangsa dan menggesa supaya hukuman lebih berat dikenakan ke atas pemandu mabuk yang ‘menggila’ di jalan raya.

Untuk rekod, pindaan kali terakhir yang dibuat oleh kerajaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung kesalahan memandu secara mabuk ini adalah pada tahun 1999 di mana hukuman bagi pesalah yang memandu secara mabuk dan menyebabkan kematian menurut Seksyen 44 adalah denda RM10,000 dan penjara sehingga 12 bulan sahaja.
Namun begitu, sudah terang lagi bersuluh bahawa pindaan hukuman pada tahun 1999 sama sekali tidak mampu untuk meredakan kebimbangan orang awam apabila kes kematian membabitkan pemandu mabuk terus meningkat dari masa ke masa.

Pada pendapat penulis, hukuman bagi kesalahan sebegini sepatutnya diberatkan kepada membatalkan lesen memandu pesalah terbabit seumur hidup secara mandatori memandangkan kesalahan yang dilakukan melibatnya nyawa pengguna lain yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Kesalahan yang melibatkan nyawa ini tidak harus dikompromi sama sekali. Dengan ini, keselamatan awam akan lebih terjamin dan hukuman ini juga akan memberi pembelaan yang adil kepada keluarga mangsa yang telah kehilangan insan tersayang.
Mungkin segelintir pihak berasakan hukuman membatalkan lesen memandu pesalah seumur hidup adalah terlampau berat dan keterlaluan tetapi hakikatnya, sesuatu perlu dilakukan bagi mengekang permasalahan ini. Kemalangan maut yang melibatkan pemandu mabuk bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain sehingga ada yang mencadangkan agar hukuman mati dikenakan kepada ‘pembunuh’ di jalan raya ini.

Sebagai contoh, pada Mac 2019, Taiwan telah merancang untuk melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah yang menyebabkan kemalangan maut ketika memandu dalam keadaan mabuk.
Di Vietnam pula, penunggang motosikal dalam keadaan mabuk boleh dikenakan denda sehingga 8 juta Vietnam Dong (RM1,432) dan digantung lesen selama dua tahun. Bagi pemandu kereta, denda yang bakal menanti pesalah boleh mencapai 40 juta Vietnam Dong iaitu sekitar RM7,000 dan penggantungan lesen. Keputusan drastik yang dibuat kerajaan Vietnam bermula 1 Januari lalu itu menyaksikan industri penjualan arak merudum di negara berkenaan.
Pesalah kali pertama yang memandu di bawah pengaruh alkohol di Singapura pula dikenakan denda $5,000 iaitu kira-kira RM20,500 atau penjara selama enam bulan. Bagi kesalahan kedua, jumlah denda dan tempoh penjara boleh meningkat sehingga 500 kali ganda.
Bagi negara-negara Arab seperti Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi, mereka yang memandu dalam keadaan mabuk bukan sahaja boleh dikenakan hukuman penjara dan denda malah hukuman sebat di khalayak ramai juga menanti para pesalah.

Tidak kiralah apa jua kesalahan sekali pun, hukuman yang dikenakan bukan sahaja harus bersifat mendidik tetapi juga bersifat menghukum pesalah. Apa-apa pun, diharap agar pindaan hukuman yang bakal dilaksanakan kelak dapat menyaksikan penurunan dalam statistik kemalangan jalan raya melibatkan pemandu mabuk.
*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.
Untuk baca artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah: