#DioramaAhad: Hanya Beri Diskaun Bil Elektrik Sebanyak 2 Peratus, Tanda Pagar #LawanTNB Mula Tular Di Twitter

Jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia menunjukkan peningkatan dari hari ke hari. Setakat hari ini, angka kematian akibat wabak itu telah mencatat sebanyak lapan kes. Bagi membendung virus yang kian menular ini, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu iaitu bermula dari 17 Mac sehingga 31 Mac 2020. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun mengatakan bahawa kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sekiranya rantaian jangkitan COVID-19 tidak dapat diputuskan.

Salah satu kesan jangka pendek arahan duduk di rumah ini adalah penggunaan elektrik secara tidak langsung akan naik dengan mendadak. Sebelum perkara ini menjadi beban buat rakyat, Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Khamis lepas telah mengumumkan diskaun ke atas bil elektrik selama enam bulan iaitu bermula 1 April sehingga September 2020. Ia merupakan sebahagian daripada Pakej Stimulus Ekonomi yang diumumkan kerajaan bagi mengurangkan impak yang disebabkan oleh wabak COVID-19.

Bagi golongan rakyat, potongan sebanyak dua peratus akan diberikan manakala bagi sektor perniagaan terpilih pula, masing-masing layak menerima potongan bil elektrik sebanyak 15 peratus. Difahamkan, diskaun 15 peratus ini melibatkan 10 ribu pemilik akaun dari enam sektor iaitu pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, kompleks membeli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

Walau bagaimanapun, tinjauan penulis di media sosial mendapati diskaun yang diumumkan TNB tempoh hari telah menerima pelbagai reaksi daripada warganet. Rata-ratanya tidak bersetuju dengan potongan sebanyak dua peratus diberikan kepada golongan rakyat. Ramai yang berpendapat bahawa diskaun tersebut langsung tidak munasabah terutamanya dalam situasi sekarang di mana ada segelintir yang terpaksa cuti tanpa gaji. Malah, tanda pagar #LawanTNB turut menjadi tular di laman Twitter sebagai tanda bantahan pengguna terhadap diskaun yang tidak masuk akal itu.

Berikut adalah beberapa ciapan daripada warga Twitter yang meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap TNB:

Untuk rekod, TNB ditubuhkan pada tahun 1990 menerusi penswastaan Lembaga Letrik Negara (LLN). Aset perniagaan TNB dianggarkan berjumlah RM99.03 bilion. Ia adalah salah satu daripada 10 syarikat di bawah Khazanah Nasional, dana kekayaan kerajaan Malaysia. Pada tahun 2018, TNB menjadi salah satu daripada 13 syarikat Malaysia yang tersenarai dalam Forbes Global 2000.

Bagi penulis, TNB sepatutnya lebih peka dan tampil dengan potongan yang lebih tinggi terhadap rakyat dalam detik sukar ini. Banyak lagi syarikat-syarikat lain yang penulis percaya, jumlah keuntungan mereka jauh lebih kecil berbanding TNB tetapi mereka masih mampu memberikan diskaun yang berlipat kali ganda lagi tinggi.

Lebih-lebih lagi, ada individu yang terpaksa cuti tanpa gaji sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Tidak jatuh muflis pun rasanya jika TNB berikan diskaun yang lebih munasabah berbanding hanya dua peratus sahaja.

Diharapkan agar TNB dapat lakukan sesuatu yang dapat meringankan beban seluruh rakyat Malaysia dalam saat getir ini.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel lain berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Untuk baca artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca