#DioramaAhad: Drama Antara TMJ, Safawi Rasid Dan Syifa Melvin, Siapa Salah Sebenarnya?

Beberapa hari yang lepas, kecoh di media sosial mengenai penyerang pasukan kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Safawi Rasid dan teman wanitanya, Syifa Melvin di mana gadis itu didakwa menjadi punca utama prestasi pemain itu merudum. Malah, pemilik pasukan JDT iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) turut memuat naik beberapa Instagram Stories berkaitan hal tersebut di laman Instagram beliau.

Adik ipar kepada Shaheizy Sam itu dikatakan kemaruk untuk berkahwin dengan Safawi sehingga perkara tersebut mengganggu emosi pemain bintang JDT berkenaan sekali gus menyebabkan prestasinya jatuh. Syifa bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa dia sama sekali tidak pernah memaksa pemain kelahiran Terengganu itu untuk menamatkan zaman bujang dengannya.

Isu antara kedua-dua individu ini berjaya mencuri perhatian warganet sehinggakan majoriti tidak ketinggalan untuk melontarkan komen masing-masing berhubung kemelut yang menimpa mereka. Ada yang berpihak kepada Safawi dan ada juga yang berpendapat bahawa Syifa menjadi mangsa dalam hal ini. Tidak dinafikan, setiap orang berhak untuk mempunyai pendapat masing-masing dalam semua perkara.

Penulis pula memilih untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak. Dalam erti kata lain, penulis lebih selesa untuk duduk di tengah-tengah dalam isu ini. Pada pendapat penulis, jika benar dakwaan yang mengatakan prestasi Safawi tidak konsisten gara-gara dikongkong dan dipaksa berkahwin, pemain berbakat besar itu sepatutnya tahu untuk membezakan masalah peribadi dan kerjaya. Jangan sesekali biarkan emosi mengawal diri sehinggakan ia memberi impak kepada kehidupan termasuklah kerjaya.

Pada masa yang sama, penulis berasakan yang Syifa sendiri sepatutnya faham dengan tanggungjawab Safawi kepada keluarga, kelab dan negara. Bagi penulis, jika ada jodoh pasti tidak akan ke mana. Jadi, tidak perlu pun untuk kita memaksa seseorang untuk berkahwin dengan kita.

Tinjauan penulis di media sosial juga mendapati ada segelintir yang berpendapat bahawa tindakan TMJ berkongsi isu ini di laman Instagram beliau adalah sesuatu yang tidak wajar. Bagi penulis, TMJ sebagai majikan memang mempunyai hak untuk menegur Safawi tetapi beliau perlu menggunakan medium yang lebih sesuai.

Warganet pula masing-masing berlari-lari melemparkan kecaman bagaikan tiada hari esok kepada Syifa dan Safawi seolah-olah ia merupakan satu pertandingan. Tidak dinafikan, bersetuju atau tidak dengan sesuatu perkara memang hak setiap individu tetapi jangan sesekali kita lari daripada konteks asal sehingga menyentuh soal keluarga, agama dan fizikal seseorang.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel lain berkenaan isu Safawi Rasid dan Syifa Melvin, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Untuk baca artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca