#DioramaAhad: Bukan Saja-Saja Dihidangkan, Ini Sejarah Dan Simbolik Yee Sang Ketika Raya Cina

Salah satu makanan yang wajib ada semasa makan besar bersama keluarga setiap kali meraikan sambutan Tahun Baharu Cina adalah Yusheng atau kita sering sebut sebagai Yee Sang. Sebagai masyarakat Malaysia yang hidup berbilang kaum, tidak salah untuk kita mengambil tahu serba sikit tentang sejarah serta simbolik Yee Sang ini. Percaya atau tidak, makanan ini bukannya saja-saja dihidangkan tetapi ia mempunyai simbolik dan makna yang tersendiri.

Sejarah Yee Sang

Yee Sang atau dipanggil sebagai Lo Hei oleh orang Kantonis pada mulanya merupakan makanan kaum nelayan yang dimakan semasa sambutan Hari Dewa Nuwa. Ia terdiri daripada isi ikan mentah yang digaul dengan sayuran serta cuka beras dan minyak bijan. Persoalannya, bagaimana boleh tercetusnya idea untuk menghasilkan makanan ini? Menurut legenda, pada suatu ketika dahulu, terdapat seorang nelayan yang mahu menyelamatkan kekasihnya daripada mati kelaparan. Ketika itu, tiada makanan lain selain ikan dan cuka.

Si nelayan tadi pada mulanya cuma untuk menghidupkan api untuk memasak ikan itu. Namun begitu, keadaan angin yang terlalu kuat memandangkan taufan sedang melanda kawasan tersebut ketika itu menyebabkan si nelayan mengambil keputusan untuk campurkan sahaja isi ikan mentah bersama cuka beras untuk mengisi perut kekasihnya yang sudah mula mengeluarkan pelbagai irama.

Budaya memakan Yee Sang semasa sambutan Tahun Baharu Cina dipercayai dicipta oleh pelombong Cina yang dibawa masuk ke negara kita oleh British pada suatu ketika dahulu. Budaya ini tercetus kerana mereka mahu memeriahkan suasana memandangkan masing-masing berada jauh dari keluarga dan kampung halaman.

Antara bahan yang ada dalam Yee Sang pada hari ini adalah isi ikan (selalunya ikan salmon), lobak merah, lobak putih, limau kering, halia jeruk, kacang tanah, keropok udang, Ngo Hiong (campuran lima jenis rempah ratus yang dikisar halus) serta sos plum, sos kamquat dan bijan.

Simbolik kenapa Yee Sang dijadikan hidangan wajib semasa sambutan Tahun Baharu Cina

Masyarakat Cina percaya bahawa semakin tinggi Yee Sang diangkat sewaktu digaul, maka lebih banyak kemakmuran yang menanti mereka sepanjang tahun. Makanan ini selalunya dihidangkan sebagai hidangan pembuka semasa acara makan besar kerana ia dianggap sebagai simbol penyatuan, kemakmuran dan lambang kemurahan rezeki yang bakal diperoleh sepanjang tahun tersebut.

Selain ikan, perkataan ‘yee’ dalam bahasa Cina turut membawa maksud lain iaitu kekayaan berkekalan. Perkataan ‘sang’ pula merujuk kepada mentah dan ia turut mempunyai maksud lain iaitu hidup serta kebangkitan. Dalam erti kata lain, Yee Sang melambangkan simbol kemewahan dan juga panjang umur.

Semasa proses menggaul Yee Sang, mereka yang berkumpul di sekeliling meja bulat digalakkan untuk menjerit perkataan “Lou Hei” di mana dalam konteks ini, ‘lou’ bermaksud menggaul manakala ‘hei’ pula merujuk kepada naik.

Menurut kepercayaan masyarakat Cina, semakin tinggi Yee Sang diangkat dan digaul, maka lebih banyak kemakmuran yang menanti sepanjang tahun. Selain kemakmuran, mereka juga percaya bahawa dengan menjerit perkataan “Lou Hei”, ia dapat memberi kesihatan yang baik terhadap diri masing-masing.

Menarik, bukan? Sebenarnya, ada banyak lagi perkara yang kita semua patut ambil tahu tentang Tahun Baharu Cina termasuklah pantang larang semasa perayaan ini. Anda boleh tonton video di bawah untuk ketahui perkara yang perlu dielakkan semasa sambutan Tahun Baharu Cina.

Penulis mewakili seluruh team Lejen Digital mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina buat semua pembaca yang menyambut perayaan ini. Semoga tuah tahun tikus membawa keberkatan buat anda semua. Gong Xi Fa Cai!

Untuk baca artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca