#DioramaAhad: Bersengkang Mata Pastikan Anak Didik Tidak Ketinggalan, Ini Sudahnya Balasan Daripada Segelintir Pelajar

Serangan pandemik COVID-19 di seluruh dunia termasuklah Malaysia sekali gus memberi cabaran baharu buat golongan pendidik dalam mendidik anak murid dan pelajar masing-masing. Tanggal 16 Mei semalam menandakan sambutan Hari Guru di negara kita tetapi berbezanya kali ini, tiada sambutan istimewa diadakan di sekolah seperti tahun-tahun sebelumnya memandangkan negara kita masih lagi berada dalam medan peperangan melawan virus yang telah meragut 113 nyawa itu (setakat 17 Mei 2020).

Dalam pada itu, sesi pembelajaran kovensional kini secara tidak langsung terpaksa ditukar kepada dalam talian susulan arahan kerajaan yang mengarahkan penutupan semua sekolah sebagai salah satu usaha untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Meskipun perkara ini merupakan satu cabaran yang cukup besar buat para pendidik, mereka tetap bersemangat menggalas amanah dan tanggungjawab untuk terus menyampaikan ilmu kepada para pelajar demi memastikan anak didik mereka tidak tercicir.

Malah, tinjauan penulis mendapati bahawa ada guru yang memuat naik video beliau mengajar subjek Matematik Tambahan di laman YouTube bagi memudahkan urusan para pelajar. Besar sungguh pengorbanan seorang insan yang bergelar guru ini.

Namun begitu, ada segelintir pelajar yang tidak nampak atau mungkin sahaja, buat-buat tidak nampak segala usaha para guru dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada mereka.

Baru-baru ini, tular di Twitter apabila seorang pengguna laman sosial itu berkongsi beberapa tangkapan skrin yang memaparkan coretan para pelajar tentang guru-guru mereka.

Biadap, itulah perkataan yang terlintas dalam fikiran penulis sebaik sahaja membaca coretan mereka yang langsung tidak menghormati, apatah lagi menghargai para guru yang bersusah-payah dalam menyampaikan ilmu kepada mereka.

“Memang aku je ke yang tak kisah langsung homework tak siap?” dan “Aku harap cikgu maafkan aku sebab left grup kelas,” ini antara kata yang dicoret oleh para pelajar yang sudah cukup ‘pandai’ itu. Persoalannya, ke mana hilangnya rasa hormat dalam diri mereka? Inikah ciri-ciri pelajar yang bakal memimpin negara suatu masa akan datang?

Wahai adik-adik sekalian, tiada siapa yang suka dan gembira dengan keadaan sekarang. Percayalah, para guru pun tidak mahu membebankan anda semua dengan kelas dalam talian, kerja dalam talian dan semua yang sewaktu dengannya. Mereka lakukan ini semua demi kalian. Mereka lakukan ini semata-mata untuk memastikan kalian tidak tertinggal dalam pelajaran sewaktu saat getir ini.

Tak suka, tak mengapa tapi jangan jadi biadap. Tak suka sekalipun dengan kaedah pembelajaran normal baharu ini, simpan sahaja di dalam hati. Jangan kerana kata-kata yang keluar daripada mulut menjadikan badan binasa.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel-artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca