#DioramaAhad: Bangga Dapat Tipu Polis Untuk Lolos ‘Roadblock’, Individu Ini Undang Amarah Rakyat Malaysia

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak muat naik sesuatu di media sosial buruk padahnya. Begitulah yang terjadi kepada satu keluarga yang baru-baru ini dengan bangganya berkongsi foto mereka dapat pulang ke Kuala Lumpur semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tidak cukup dengan itu, individu berkenaan juga turut berkongsi tips menipu pihak berkuasa untuk melepasi sekatan jalan raya. Tangkap layar memaparkan gambar serta tips menipu itu telah menjadi tular di media sosial dan mengundang amarah rakyat Malaysia.

Dalam tangkap layar yang dipercayai daripada perbualan WhatsApp itu, individu tersebut berkongsi gambar keluarganya sambil mengucapkan rasa syukur kerana selamat sampai ke Kuala Lumpur. Individu yang tidak bertanggungjawab itu juga dengan bangganya memberitahu ‘kunci’ untuk melepasi sekatan jalan raya adalah dengan memberitahu pihak berkuasa mereka ingin membawa anak ke hospital dan tiada siapa yang boleh menjaga mereka.

Kuasa tular telah membuatkan perkara tersebut sampai ke telinga pihak berkuasa sendiri. Menurut laporan Berita Harian, pihak polis sudah pun mengenal pasti ahli keluarga yang terlibat dan tindakan akan diambil terhadap mereka.

Komen penulis sendiri tentang isu ini, janganlah kita sesekali bangga apabila melakukan sesuatu perkara yang sudah terang lagi bersuluh memang salah. Mungkin pada individu terbabit, dia adalah hero kerana dapat berkongsi tips kepada orang ramai untuk lolos daripada sekatan jalan raya, namun tanpa dia sedar, perbuatannya itu akhirnya memakan diri sendiri dan juga keluarga.

Tinjauan penulis di media sosial mendapati bahawa rata-rata fokus kepada kesalahannya melanggar PKP dan mengajar orang ramai menipu pihak berkuasa sehingga tidak perasan kesalahan lain yang turut dilakukannya. Apabila penulis meneliti semula foto yang tular itu, pasangan terbabit juga dilihat meriba salah seorang daripada anak mereka yang sepatutnya diletakkan di tempat duduk keselamatan bayi. Pada masa yang sama, anak mereka yang duduk di bahagian belakang kenderaan juga dilihat tidak mengenakan tali pinggang keledar.

Berbalik kepada isu melanggar PKP, sikap pentingkan diri sendiri jelas terpancar menerusi perbuatan mereka. Di saat semua petugas barisan hadapan bertarung nyawa memerangi wabak COVID-19, usaha mereka mungkin akan menjadi sia-sia belaka gara-gara wujudnya individu yang pentingkan diri sendiri seperti ini.

Kesimpulannya, sebelum kita lakukan apa-apa, fikir terlebih dahulu impak yang bakal menanti. Jangan jadi penyebab orang lain yang tidak bersalah turut terkena tempias perbuatan kita. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga dan jangan kerana sikap penting diri kita, orang lain yang merana.

Untuk baca artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca