#DioramaAhad: Baju Pengantin Mira Filzah Disamakan Dengan Alas Meja, Mana Pergi Adab Segelintir Warganet?

Sejak minggu lepas sampailah ke hari ini, perkahwinan pelakon dan pengacara terkenal tanah air, Mira Filzah dan pasangannya, Wan Emir Astar masih menjadi topik perbualan hangat warganet. Buka sahaja mana-mana media sosial, pasti ada foto sekitar majlis nikah dan resepsi pasangan mempelai yang bagai pinang dibelah dua itu melintas di timeline.

Sumber: Instagram Mira Filzah

Dalam pada ramai yang menumpang gembira dengan perkahwinan mereka dan menggelarnya sebagai wedding of the year, ada juga segelintir yang mengeluarkan kata-kata berbaur kecaman dan sama sekali tidak enak dibaca berkenaan gaun pengantin yang disarung oleh Mira.

Sumber: Instagram Rizman Ruzaini

Bagi pembaca yang tidak tahu, salinan pernikahan aktres berusia 25 tahun itu direka khas oleh pereka fesyen berbakat tanah air, Rizman Ruzaini.

Sumber: Instagram Mira Filzah

Gaun pengantin di majlis resepsi pertama mereka pula adalah sentuhan magis pereka fesyen terkenal negara iaitu Fizi Woo.

Sumber: Instagram Rico Rinaldi

Selain itu, ada satu lagi majlis resepsi yang diadakan di mana ia bertemakan majlis di taman. Bertempat di A Park, Puchong, Mira mengenakan busana pengantin hasil tangan pereka fesyen tersohor Malaysia iaitu Rico Rinaldi bagi resepsi tersebut.

Sebelum majlis tersebut berlangsung, Rico Rinaldi ada berkongsi satu video menerusi akaun TikTok miliknya di mana ia memaparkan reaksi Mira dan Emir sebaik sahaja melihat gaun berwarna biru itu. Dalam video itu, Mira kelihatan sangat gembira dan berpuas hati dengan hasil tangan Rico Rinaldi.

Di saat tuan punya badan gembira serta teruja menggayakan gaun tersebut di hari bahagianya, ada pula segelintir warganet yang tidak boleh lihat orang lain senang dan tampil mengatakan busana itu tidak seperti yang digambarkan. Malah, ada yang langsung tiada adab dan menyamakannya dengan alas meja.

Sumber: Instagram Mira Filzah

Pada mata penulis, gaun pengantin itu tiada cacat cela seperti yang dikatakan segelintir warganet. Memang tidak dinafikan, selera setiap orang berbeza. Mungkin ada yang nampak ia cantik dan mungkin juga ia tidak kena dengan citarasa orang lain. Namun begitu, itu sama sekali tidak memberi tiket kepada kita semua untuk melontarkan komen yang melampau di hari bahagia orang lain.

Malah, ‘peraturan’ untuk tidak menjadi biadap dan menjadi ‘juri’ tidak diundang ini bukan hanya terpakai semasa perkahwinan Mira sahaja tetapi semua orang tidak kiralah sama ada mereka selebriti, guru, jururawat, wartawan, jurutera atau sesiapa sahaja.

Bagi penulis, asalkan tuan punya badan gembira, siapa kita untuk komen lebih-lebih? Bukannya kita dibayar untuk jadi juri pun. Senang cerita, kalau kita tiada benda baik untuk diucapkan, lebih baik diam sahaja daripada berkata-kata.

Apa-apa pun, semoga kita semua dijauhkan daripada menjadi seorang yang tiada adab terutamanya di sebalik skrin telefon pintar. Carilah aktiviti yang membawa faedah kepada diri dan juga orang lain kerana menjadi pejuang papan kekunci dan menyebarkan kebencian di alam maya sama sekali tidak berfaedah dan ia jelas telah banyak mencetuskan penghinaan yang tidak wajar. 

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel-artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca