#DioramaAhad: Ajuk Gaya OKU Untuk Dapatkan Parkir, Inikah Karakter Pemimpin Di Universiti?

Baru-baru ini, seorang pengguna laman sosial Twitter iaitu Mohd Zofrie yang juga menyandang jawatan sebagai Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) bertindak memuat naik satu video memaparkan rakannya mengajuk gaya orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan tempat letak kereta OKU di sebuah masjid.

Dalam video berdurasi lima saat itu, lelaki berkenaan dilihat menaikkan sebelah bahunya dan memusingkan badan sambil berjalan ke arah kereta sementara rakan-rakan lain di dalam kereta bergelak sakan.

Video tersebut menjadi tular dalam sekelip mata dan menerima kecaman hebat daripada warga Twitter kerana tindakan itu seolah-olah memperlekehkan golongan berkenaan, apatah lagi ia dilakukan di kawasan masjid. Tinjauan penulis di laman sosial itu mendapati ramai yang tersinggung dengan aksi tersebut terutamanya mereka yang mempunyai ahli keluarga OKU.

Sedar yang ramai menghentam dirinya akibat video tular itu, Mohd Zofrie akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di akaun Twitter miliknya.

Dalam bebenang yang sama, Mohd Zofrie mengatakan bahawa dia langsung tiada niat untuk memperkecilkan golongan OKU dan dia mengakui khilaf dalam perbuatan tersebut. Dia turut berjanji akan lebih berhati-hati dengan segala tindakan yang dilakukan selepas ini.

Pada masa yang sama, Mohd Zofrie turut menegaskan bahawa kekhilafan yang dibuat itu merupakan kesilapan dirinya secara keseluruhan dan tiada kaitan dengan organisasi yang dia sertai berikutan GAMIS turut terkena tempias akibat perbuatannya.

Pada pendapat penulis, apa yang dilakukan dalam video tersebut adalah satu bentuk penghinaan terhadap golongan OKU. Mungkin ada yang berasakan ia hanyalah sekadar gurauan tetapi pada penulis, mahu bergurau pun ada batasnya. Sebagai seorang individu yang membawa karakter pemimpin di universiti, Mohd Zofrie sepatutnya menunjukkan sikap seorang pemimpin dan bukannya berjenaka dengan kekurangan orang lain.

Apa-apa pun, semoga apa yang berlaku ini dapat dijadikan iktibar buat semua. Jangan sesekali jadikan kekurangan orang lain sebagai bahan jenaka kita.

*Ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili team Lejen Digital.

Untuk baca artikel-artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca