#DioramaAhad: 5 Langkah Untuk Hindar Diri Daripada Terkena Jangkitan Koronavirus

Penularan wabak koronavirus iaitu sejenis virus yang menyerang sistem pernafasan mamalia termasuklah manusia kini berada dalam keadaan yang cukup membimbangkan. Titik awal penularan wabak koronavirus adalah Wuhan di mana ia merupakan sebuah bandar di wilayah Hubei, China. Angka kematian akibat virus itu terus meningkat dari masa ke masa selain pertambahan kes baharu yang direkodkan di beberapa buah negara lain selain China termasuklah Malaysia.

Berikut adalah lima langkah berjaga-jaga yang boleh diambil untuk mengelakkan diri anda daripada terkena jangkitan koronavirus:

1. Pakai topeng muka dengan betul

Pemakaian topeng muka dengan cara yang betul adalah amat penting untuk menghindari diri daripada terkena jangkitan apa-apa sahaja virus termasuklah koronavirus. Bahagian berwarna pada topeng muka sepatutnya berada di luar dan bukannya di bahagian dalam seperti yang majoriti pengguna pakai selama ini. Topeng muka yang dipakai mestilah menutup semua bahagian hidung dan mulut. Elakkan menggunakan topeng muka yang sama berulang kali atau memakainya terlalu lama.

2. Basuh tangan sekurang-kurangnya 20 saat

Satu lagi perkara yang tidak boleh diambil enteng dalam mengelakkan diri daripada terkena wabak koronavirus adalah membasuh tangan. Anda perlu memastikan bahawa kedua-dua belah tangan dibasuh dengan sabun sekurang-kurangnya selama 20 saat untuk memastikan ia benar-benar bersih. Selepas itu, lap tangan dengan menggunakan tuala bersih sebelum menggunakan pembasmi kuman tangan (hand sanitizer) untuk perlindungan tambahan.

3. Elakkan daripada berkunjung ke tempat tumpuan ramai

Anda dinasihatkan untuk elakkan diri daripada berkunjung ke tempat-tempat awam yang sentiasa sesak dan dipenuhi orang ramai. Hal ini demikian kerana kemungkinan untuk anda terkena jangkitan apa-apa wabak atau penyakit termasuklah koronavirus adalah tinggi di tempat tumpuan ramai.

4. Dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera jika anda alami simptom-simptom wabak koronavirus

Mereka yang dijangkiti wabak ini akan mempunyai simptom seperti demam, batuk dan sesak nafas. Menurut laman The Diagnosa, pesakit akan mengambil masa dalam dua hingga 14 hari untuk menunjukkan simptom-simptom tersebut. Jadi, sekiranya simptom-simptom yang disebut ini ada pada diri anda, pergi jumpa doktor dengan segera untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

5. Pastikan makanan yang dimakan dicuci dengan bersih dan dimasak dengan betul

Memandangkan punca wabak koronavirus masih lagi dalam kajian, pastikan makanan seperti daging dan ikan dibasuh dengan bersih sebelum ia dimasak dengan betul. Elakkan daripada memakan daging mentah bagi mengelakkan jangkitan virus.

Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua. Untuk ketahui lebih lanjut tentang wabak koronavirus, anda boleh tonton video di bawah:

Untuk baca artikel lain dalam segmen Diorama Ahad, anda boleh klik pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca