Dilempar Dan Dipijak Tanpa Belas Kasihan, Bayi Berusia 20 Bulan Ini Maut Di Tangan 4 Rakan Ibunya

Seorang bayi lelaki berusia 20 bulan menemui ajal selepas didera oleh empat orang rakan perempuan ibu mangsa di sebuah kediaman yang bertempat di Taman Hatib dekat Semporna, Sabah pada Jumaat lepas.

Bayi malang itu iaitu Muhammad Al Suhaimi Alsarif disahkan meninggal dunia oleh doktor pada jam 6.45 petang di Hospital Semporna.

Menurut Ketua Polis Semporna iaitu Superintendan Sabarudin Rahmat, bayi berkenaan dihantar oleh ibunya yang berusia 23 tahun ke Wad Kecemasan Hospital Semporna bagi mendapatkan rawatan. Namun begitu, Muhammad Al Suhaimi tidak bertahan lama memandangkan keadaannya yang begitu kritikal.

Kenyataan daripada seorang saksi mengatakan bahawa bayi tidak berdosa itu bukan setakat ditampar tetapi dia juga dilempar ke tilam dan badan mangsa ditarik sehingga terkena besi katil. Tidak cukup dengan itu, bayi itu juga dipijak sekali gus membawa kepada kematiannya.

Ekoran kejadian, empat orang remaja perempuan warga asing berumur antara 16 dan 19 tahun telah ditahan pihak polis sekitar jam 9.30 malam hari yang sama selepas menerima laporan berkenaan insiden itu.

Tambah Sabarudin, mangsa dipercayai berada di bawah penjagaan ibunya dan keempat-empat suspek merupakan rakan kepada ibu mangsa yang menumpang duduk di rumahnya.

Difahamkan, mangsa telah ditinggalkan bersama dengan kesemua suspek pada hari yang membawa kepada episod tragis itu.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca