Dilema Bercinta Dengan Kekasih Toksik? Ini 10 Tanda Anda Harus Tinggalkan Si Dia

Lumrah bagi setiap insan untuk mempunyai sifat memiliki dan dimiliki oleh cinta. Namun, berbaloikah hubungan itu jika jalinan cinta hanya diselimuti racun yang akhirnya memakan hati dan diri sendiri?

Jangan pernah takut untuk meninggalkan kekasih anda jika mereka mempunyai ciri-ciri pasangan toksik. Apa gunanya jika terus bersama menyulam cinta sekiranya anda berisiko menjunamkan nyawa ke dalam gaung?

Dalam sesebuah perhubungan itu, seharusnya wujud terma memberi dan menerima antara pasangan tetapi jika anda merasakan bahawa anda sahaja yang memberi dan dia hanya menerima, maka segeralah sedar betapa berharganya diri anda. Anda semua layak untuk mendapatkan yang lebih baik.

Berikut penulis kongsikan 10 tanda anda mempunyai pasangan toksik:

1. Hanya memberi, tiada menerima

Di saat anda sahaja yang cuba memahami dan dia tidak melakukan hal yang sama kepada anda, percayalah, lama kelamaan ‘bank cinta’ anda akan kehabisan nilai kasih sayang terhadapnya.

2. Rasa penat

Hubungan percintaan seharusnya memberikan anda rasa bahagia dan aktif bukan terganggu dengan emosi, mental dan juga fizikal. Contohnya, sebaik sahaja keluar dengan kekasih si dia, anda akan berasa sesuatu perasaan yang merentap kebahagiaan itu.

Mungkin kerana sikapnya yang tidak serius dengan perasaan anda seperti sentiasa memerli dan mencetuskan perasaan cemburu? Jika ini terjadi, fikirkanlah semula sama ada hubungan tersebut harus diteruskan atau tidak.

3. Kurang percaya

Hubungan cinta tanpa kepercayaan ini umpama lampu yang tiada sinar cahayanya. Jika si dia sering menuduh anda berlaku curang, mempersoalkan kesetiaan anda, tidak mengizinkan anda menikmati hidup secukupnya kerana khuatir anda melakukan masalah yang tidak pernah terlintas sedikit pun dalam akal fikiran, maka cubalah untuk menimbang tara hubungan tersebut semula.

Anda bukan pesalah untuk dipandang dengan penuh rasa ketidakpercayaan. Anda layak dicintai oleh seseorang yang lebih tahu menghormati anda.

4. Sering bertengkar

Jika anda dan pasangan sering bergaduh ini menandakan anda berada dalam sebuah hubungan percintaan yang tidak sihat. Sekiranya pertengkaran yang berlaku adalah sekali dua, maka ianya boleh dikategorikan sebagai normal.

Namun perlu diingatkan, jika pergaduhan itu berterusan, maka renung-renungkanlah kerana percintaan yang tulus tidak akan menjadi sedemikian rupa.

5. Kritikan berterusan

Hubungan percintaan yang sihat membolehkan anda untuk mengekspresikan diri tanpa perlu rasa takut dihukum atau dipandang serong. Pasangan anda seharusnya menjadi seseorang yang boleh menyenangkan hati apabila semuanya dirasakan seakan-akan ingin hancur.

Namun, sekiranya dia kerap menyalahkan anda terutama apabila sebarang masalah berlaku, ini bermakna, anda harus segera meninggalkan si dia yang mempengaruhi aura negatif itu.

6. Dikelilingi aura negatif

Adakah setiap kali anda keluar bersama pasangan, anda benar-benar rasa bahagia? Adakah senyuman yang terbit itu sepenuhnya tulus dari hati yang gembira dan bukan kerana diselubungi rasa duka? Jangan pernah cuba berkompromi dengan tenaga negatif, jika anda merasakan dia pembawa aura tersebut, anda perlu berani meninggalkan si dia.

7. Kurang berkomunikasi

Komunikasi merupakan elemen penting dalam perhubungan. Tidak mengapa untuk anda meluahkan rasa tidak puas hati, marah, sedih kepada pasangan anda. Namun, perkara akan menjadi lebih buruk sekiranya si dia tidak mengambil peduli terhadap anda. Jangan pernah membazir masa dengan menunggu si dia. Sayangilah diri anda.

8. Tidak menghormati antara satu sama lain

Pasangan yang baik itu tidak akan sesekali menyakiti hati kekasihnya dengan sengaja. Dia akan memanggil anda dengan panggilan yang mulia dan paling penting sekali, tahu menghormati dan menghargai anda. Bayangkan, sebelum berkahwin sahaja dia sudah jaguh melemparkan kata-kata hinaan, apa lagi setelah mendirikan rumah tangga, pasti cercaan menjadi kebiasaan. Sanggupkan anda hidup dalam hinaan pasangan sendiri?

9. Pandang rendah kepada anda

Sekiranya si dia menetapkan peraturan setiap kali anda ingin keluar berjalan bersama teman, maka berhenti sejenak dan fikirlah. Dengan siapa anda bercinta? Warden? Carilah seseorang yang sanggup melihat anda tumbuh berjaya tanpa sebarang kongkongan. Jangan biarkan kerana cinta, anda tidak menikmati hidup dengan cara yang sepatutnya.

10. Dihantui rasa bersalah

Sekiranya pasangan tidak menjelaskan alasan sewajarnya, malah menyalahkan anda dengan membangkitkan isu remeh-temeh, segeralah pergi tinggalkan si dia.

Percintaan itu dikukuhkan dengan sikap kedua-dua pihak yang saling membantu antara satu sama lain untuk terus berjaya. Pasangan yang baik tidak akan mempersoalkan rasa curiga kerana sesungguhnya hubungan percintaan tanpa kepercayaan tidak akan selamanya kekal bertahan.

Jangan lupa untuk cinta kepada yang maha agung terlebih dahulu sebelum berkasih kepada manusia kerana satu-satunya cinta abadi hanya akan diperoleh dengan yang Esa.

Penulis

  • Nur Afifah Maisarah Binti Abdul Majid merupakan pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar merupakan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Artikel Lain Untuk Di Baca