Pasukan polis sedang menyiasat kematian seorang lelaki berumur 39 tahun yang dijumpai mayatnya di dalam sebuah patung dinosaur.
Kejadian berlaku di Barcelona, Sepanyol pada hari Sabtu yang lalu apabila polis menerima laporan daripada seorang bapa dan anak yang menghidu bau pada sosok papier-mâché di Santa Coloma de Gramenet, pinggiran bandar Barcelona.
Bapa itu kemudiannya terlihat mayat tersebut melalui sedikit retakan pada kaki patung dinosaur jenis stegosaurus.
Pihak polis memaklumkan bahawa lelaki yang maut itu sebelumnya dilaporkan hilang oleh keluarganya, namun tiada sebarang motif jahat yang disyaki.
Tiga pasukan bomba dikerahkan ke tempat kejadian dan anggota keselamatan terpaksa menggunakan perkhidmatan jentera kren untuk mengeluarkan mayat dari dalam replika stegosaurus terbabit.
Media tempatan melaporkan lelaki itu – yang belum didedahkan identitinya – cuba mengambil telefon bimbit yang terjatuh di dalam lubang patung itu. Dia kemudiannya tergelincir ke dalam replika itu dan terperangkap dalam keadaan terbalik dan tidak mampu meminta pertolongan.
Polis sedang menunggu hasil bedah siasat mayat untuk mengetahui faktor sebenar yang membawa kepada kematian mangsa.
Baca artikel menarik lain di bawah: