Dilahirkan Tanpa Bibir Dan Dagu, Keluarga Kanak-Kanak Ini Terima Dia Seadanya

Dilahirkan tanpa bibir dan dagu, itulah nasib yang menimpa seorang budak perempuan Rusia ini. Darina Shpengler yang mengalami sindrom Nager di mana ia merupakan situasi yang jarang sekali berlaku kini telah diterbangkan di London untuk menjalani rawatan bagi menstrukturkan semula wajahnya.

Sebaik sahaja Darina dilahirkan, doktor sendiri yang mencadangkan agar ibunya iaitu Elena Shpengler untuk meninggalkan darah dagingnya itu.

Walau bagaimanapun, cadangan itu tidak diendahkan Elena dan suaminya iaitu Yury. Keluarga mereka turut menolak kehadiran bayi perempuan tersebut. Kesudahannya, Elena dan Yury meninggalkan kampung mereka bersama-sama dengan anak kesayangan mereka itu.

Darina yang kini sudah memasuki usia enam tahun dijadualkan akan menjalani pembedahan pada Rabu depan. Pembedahan yang bakal mengubah hidupnya itu akan dijalankan di Hospital Great Ormond Street di London, England.

Elena meletakkan setinggi-tinggi harapan agar prosedur itu dapat membantu anaknya makan di samping menaikkan berat badannya.

Pada masa yang sama, meskipun ia kedengaran agak mustahil, dia juga berharap agar anaknya yang bisu itu dapat bersuara seperti kanak-kanak lain.

“Saya hanya harapkan pembedahan ini berjalan lancar kerana ingin melihat Darina dapat makan dan tambah berat badan,” kata Elena kepada The Siberian Times.

“Saya harap selepas prosedur itu, dia dapat bermain dengan kanak-kanak lain kerana mereka tidak lagi takut dengannya,” tambahnya lagi.

Profesor David Dunaway yang merupakan ketua unit kraniofasial di hospital berkenaan kini memantau keadaan kanak-kanak malang itu.

Kos pembedahan itu dianggarkan mencecah RM354,645 dan ia ditanggung sepenuhnya oleh sebuah badan amal yang berpangkalan di Rusia.

Terdahulu, sebaik sahaja Darina selamat dilahirkan, Elena memberitahu bahawa kakitangan hospital ketika itu enggan membenarkannya untuk melihat bayi tersebut.

“Saya merayu kepada mereka untuk menunjukkan anak saya.”

“Jururawat itu lihat saya dan bertanya sama ada saya sedia untuk melihat anak saya sendiri,” kata ibu tersebut.

Elena berkeras untuk melihat anaknya dan pada saat itu, dia menyedari tentang keadaan fizikal Darina tidak seperti bayi-bayi lain.

“Dunia saya kelam dan saya terus tidak sedarkan diri.”

“Saya dibawa ke bahagian rawatan intensif dan doktor mencadangkan supaya bayi itu ditinggalkan di hospital. Tapi, saya menolak sekeras-kerasnya,” ujar Elena.

Yury pula tidak menunjukkan sebarang reaksi terkejut ketika melihat keadaan fizikal anaknya.

“Wajahnya tidak berubah ketika melihat Darina.”

“Dia kata bahawa bayi itu adalah anak kami, anak perempuan kami,” kata wanita tersebut.

Apa yang lebih menyedihkan adalah apabila seluruh ahli keluarga pasangan ini mula menyisihkan mereka gara-gara rupa anaknya itu. Cuma kakak Elena sahaja yang masih memberikan sokongan sehingga ke hari ini.

Tidak cukup dengan itu, keluarga mereka juga menuduh pasangan berkenaan sengaja merosakkan wajah Darina sehingga berubah menjadi sedemikian rupa.

“Saya dapat panggilan daripada polis dan mereka mahukan penjelasan,” katanya.

Meskipun rata-rata orang awam tidak senang melihat keadaan Darina dan menganggapnya menakutkan, pasangan itu enggan menyembunyikan Darina daripada orang ramai.

“Kalau tak mahu tengok, jangan tengok. Kami terima dia seadanya,” tegas Yury apabila ada orang minta mereka supaya pakaikan Darina topeng muka.

Artikel Lain Untuk Di Baca