Dilabel Terlalu ‘Over’ Ketika Terima Trofi ABPBH, Wakil BTS Army Malaysia Tampil Memohon Maaf

Buka sahaja mana-mana media sosial, rakaman video yang memaparkan keterujaan seorang peminat kumpulan ikonik K-Pop, BTS semasa menerima trofi kemenangan di malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-32 (ABPBH 32) yang berlangsung baru-baru ini pasti terlintas di timeline.

Ternyata, aksi wakil kelab peminat BTS atau lebih dikenali dengan julukan Army Malaysia itu ternyata mengundang kecaman daripada warganet.

Seperti peribahasa kerana nila setitik, rosak susu sebelanga, ramai yang berpendapat bahawa wanita itu terlampau ‘over’ sehingga memburukkan nama BTS Army yang lain.

Wakil Army yang dikenali sebagai Mastura Jamil bagaimanapun mengakui kesilapannya yang langsung tidak membuat sebarang persiapan untuk mewakili kumpulan yang dianggotai oleh Jungkook, RM, Suga, V, Jimin, Jin dan J-Hope itu.

Pada mulanya, Mastura dikatakan cuma datang sebagai penyokong sehinggalah BTS diumumkan sebagai pemenang dan wakil Berita Harian memintanya untuk naik ke pentas bagi menerima trofi.

“Memang saya tak buat apa-apa persiapan, baik ucapan mahupun pakaian. Mungkin kerana terlalu teruja sampaikan nampak macam ‘over’ pula. Siapa yang tak teruja apabila penyanyi kesayangan menang sesuatu anugerah?” jelasnya.

Apabila ditanya berkenaan coretan warganet yang rata-rata menghentamnya di laman sosial, Mastura enggan ambil pusing dan tampil memohon maaf jika aksinya di atas pentas itu membuatkan mana-mana pihak berasa kurang senang.

“Saya sedar ramai yang kecam di laman sosial, jadi sebagai manusia biasa saya ingin memohon maaf kepada mana-mana pihak yang berasa kurang senang dengan apa yang saya lakukan,” katanya.

Mastura juga mengatakan bahawa dia tidak kisah dengan individu yang melemparkan kritikan terhadap penampilannya di pentas tersebut. Baginya, setiap orang di muka bumi ini ada pendapat masing-masing dan dia tidak berkecil hati dengan segala kritikan yang ‘menghujani’ dirinya.

“Tak kisahlah orang nak kata apa pun, niat saya pada waktu itu hanya naik atas pentas untuk ambil trofi bagi pihak BTS.”

“Ada juga ahli Army yang lain mempersoalkan kenapa saya tak bersiap sedia dengan ucapan dan pakaian sebagainya? Saya terangkan semula yang saya datang sebagai penyokong dan tak sangka akan jadi wakil untuk naik pentas.”

“Biarlah orang nak troll sekalipun, yang penting kami semua enjoy di sana dan datang untuk sokong BTS,” katanya yang mula mengenali kumpulan K-Pop yang mempunyai peminat di seluruh pelosok dunia itu menerusi anaknya.

Dalam pada itu, wanita yang berusia 50 tahun ini turut menyangkal dakwaan yang menuduh pihak penganjur hanya menumpang populariti BTS semata-mata dengan mewujudkan kategori tersebut.

Secara peribadi, Mastura berpendapat bahawa muzik merupakan sesuatu yang universal dan tidak salah Berita Harian tampil dengan kategori itu.

“Setiap orang mungkin ada pandangan tersendiri, tapi bagi saya tak salah Berita Harian menyertakan kategori penyanyi luar kerana muzik ini luas,” katanya.

“Kalau kita lihat, stesen radio pun ada carta lagu membabitkan penyanyi K-Pop yang mana peminat perlu mengundi bagi memastikan penyanyi kesayangan mereka kekal dalam carta.”

“Jadi sama sahaja seperti ABPBH, mereka mengikut perkembangan semasa dan tiada istilah menumpang populariti mana-mana pihak. Itu pandangan sayalah,” ujarnya.

Difahamkan, trofi kemenangan bakal diserahkan kepada pihak pengurusan BTS iaitu Big Hit Entertaiment dalam masa terdekat. Menurut Mastura, dia telah berbincang dengan beberapa pengendali Army Malaysia untuk menghantar trofi itu ke Korea Selatan menggunakan pos.

Apa-apa pun, tahniah diucapkan kepada BTS dan semua pemenang ABPBH 32!

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca