Siapa yang tidak kenal akan penyanyi berkumpulan yang pernah merajai industri muzik berirama rock alternatif sewaktu dahulu. Kumpulan penyanyi ini bagaimanapun sempat menyepi selepas ahlinya mula bergerak membawa haluan sendiri.
Berikut penulis kongsikan 5 lagu terbaik daripada penyanyi berkumpulan Butterfingers yang pastinya menggamit memori para pembaca:
1. Vio-pipe
Tahukah anda? Jika diteliti, idea ataupun ilham untuk menghasilkan lagu ini semestinya sukar dan tidak mudah. Ini kerana, peralatan muzik bagpipe dari Scotland digunakan untuk mewujudkan lagu bergenre rock instrumental seperti demikian. Melodi yang dimainkan dalam lagu tersebut juga kedengaran begitu mengasyikkan meskipun ritmanya sedikit berulang-ulang.
2. Girl friday
Girl friday merupakan antara lagu paling popular dalam album kedua Butterfingers. Ini kerana lagu tersebut mempunyai melodi yang sangat elegan dan mudah untuk diingati. Irama sebegini sering kali diibaratkan seperti bunyi Nirvana yang telah menerima rentak baru iaitu pop.
Menariknya, keringanan dan keringkasan riff dalam melodi lagu ini secara tidak langsung memudahkan anda untuk menjadikan ia sebagai asas pembelajaran bermain gitar.
3. Royal jelly
Royal Jelly merupakan lagu paling berhantu kerana alunan dan dendangan muzik rock secara tidak langsung memperlihatkan hala tuju awal Butterfingers sewaktu di zaman awal kemunculan mereka dalam industri hiburan.
4. Ruin by the selling out
Lagu ini merupakan satu daripada melodi ciptaan gitaris Loque yang paling mudah diingati. Bermula dengan gemaan tona muzik petikan gitar secara perlahan kemudian disambungkan dengan nada yang kuat menjadikan ia sangat unik dan asyik untuk didengari oleh halwa telinga peminat rock. Ruin by the selling out juga terkenal sebagai lagu sing-along paling sedap bagi peminat Butterfingers.
5. Pacific
Meskipun sukar untuk menggambarkan lagu Pacific, namun kemunculan lagu ini pastinya dihasilkan berdasarkan kisah dan pengalaman Butterfingers pada waktu-waktu sebelumnya. Lagu ciptaan pemain dram, Loco ini turut menjadi kegemaran ramai berikutan rentaknya yang berubah-ubah dan tidak statik.
Walaupun sempat tergantung sepi selama bertahun-tahun lamanya, penyanyi berkumpulan Butterfingers baru-baru ini mengadakan konsert Ulangtahun ke-20 Butterfingers-Transcendence.
Selama tempoh usia 20 tahun dalam industri hiburan, Butterfingers berjaya mengumpul sejumlah peminat yang sangat ramai. Lebih membanggakan apabila acara konsert yang diadakan berjaya menghimpunkan seramai 8,000 peminat dari seluruh pelosok negara.
Maka, tidak hairanlah jika mereka sempat diiktiraf sebagai penyanyi berkumpulan antarabangsa. Meskipun terdapat sedikit penangguhan sewaktu persembahan berlangsung, penyanyi berkumpulan ini tetap tampak tenang di hadapan peminatnya dan menyelesaikan masalah tersebut dengan sangat profesional.
Insiden yang melibatkan kesihatan seorang ahli kumpulan ini sama sekali tidak menjejaskan atur cara persembahan terbabit. Sehubungan dengan itu, baru-baru ini pihak Lejen Press telah menerbitkan sebuah rakaman video temubual bersama penulis terkenal Nami Cob Nobbler selaku peminat Butterfingers untuk memberi sedikit pandangan berkenaan konsert yang telah berlangsung pada hari Sabtu lalu.
Untuk melihat dengan lebih lanjut mengenai ulasan komen berkenaan persembahan penyanyi berkumpulan ini, anda digalakkan untuk menonton video berikut:
Pihak Lejen Press mengucapkan agar semua ahli kumpulan Butterfingers terutamanya Kadak sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera.