Dikecam Warganet Kerana Pulang Ke Kelantan, Ibu Kepada Perantau Ini ‘Defend’ Anaknya

Ibu kepada wanita hamil yang positif COVID-19 dari Kuala Krai, Kelantan mempertahan kepulangan anaknya dan merayu agar orang ramai tidak terus mengecam tindakan anaknya yang pulang ke kampung.

Norazlina Abdul Rahim, berkata anaknya itu pulang ke kampung bukan untuk beraya dan menyambut sambutan Aidilfitri, sebaliknya untuk bersalin susulan wanita itu sedang hamil 35 minggu.

“Tolonglah jangan kecam anak saya tanpa usul periksa, anak saya pulang ke kampung untuk bersalin bukannya semata-mata menyambut Aildilfitri.

Menjadi kesukaran untuknya bersalin di Ampang, Kuala Lumpur kerana suaminya bekerja dan mereka juga mempunyai anak yang masih kecil yang berusia tiga tahun,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam, isu wanita itu menjadi topik hangat dalam kalangan warganet di laman media sosial yang rata-rata mengecam tindakan wanita itu untuk pulang ke kampung.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah, wanita itu hanya disahkan positif selepas berkunjung ke klinik kesihatan ibu dan anak di Kelantan untuk menjalani rutin pemeriksaan.

Ibu yang berusia 50 tahun itu turun memaklumkan anaknya yang berusia 32 tahun itu mempunyai surat kebenaran untuk pulang ke kampung dan dijangka bersalin pada 19 Jun nanti.

“Sejak berita mengenai anak saya tular, ramai yang mengecam tindakan anak saya pulang ke kampung, sedangkan mereka tidak tahu anak saya mempunyai alasan kukuh untuk pulang.

Pada mulanya anak saya agak tertekan sehingga nyah aktifkan akaun Facebook. Kini keadaannya kembali stabil selepas saya dan suami memujuk supaya bertenang dan tidak mengendahkan kecaman itu.

Saya sentiasa menasihatkan anak supaya menerima perkara ini dengan hati terbuka. Syukur alhamdulillah sehingga kini anak saya dalam keadaan sihat dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr. Zaini Hussin, wanita itu kini berada dalam keadaan stabil.

Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca