Dikecam Tidak Habis Belajar, Ini Respons Azhar Sulaiman

Rentetan isu aksi anak gadis pelakon Azhar Sulaiman iaitu Kasih Iris Leona di aplikasi TikTok, warganet telah mempertikaikan kelulusan akademik beliau.

Bengang dengan kecaman warganet yang menuduhnya tidak habis belajar, Azhar Sulaiman telah memuat naik foto salinan Ijazah dan Diploma miliknya di laman sosial Facebook.

Mengulas perkara itu, Azhar berkata, dia lebih selesa menunjukkan bukti daripada berperang mulut dengan warganet yang dianggap perbuatan yang sia-sia.

“Mereka mendakwa saya tidak habis belajar. Daripada saya bertegang urat dengan warganet, lebih baik saya berikan bukti dengan berkongsi foto salinan pencapaian saya dalam bidang akademik.

“Sebelum ini, saya bertindak meletakkan foto yang sama di ruang komen individu yang membuat tuduhan yang tidak berasas itu. Biar dia baca,” jelas pelakon filem Abang 92 itu.

Azhar mengaku bahawa dia bukanlah jenis orang yang cepat melenting apabila dihentam, tetapi biarlah tuduhan yang dilemparkan itu berasas.

“Macam dalam kes anak saya, komen yang boleh dipakai, saya akur. Tetapi jika tuduhan dibuat tidak berasakan fakta, saya akan pertahankan.”

Ujar Azhar lagi, pengalamannya untuk mendapatkan ijazah tersebut adalah sangat berharga. Beliau pernah dinasihati untuk berhenti belajar selepas gagal dalam empat semester akibat terlalu aktif berlakon.

“Walaupun malu, saya meneruskan pengajian sehingga tamat. Kemudian saya sambung belajar di luar negara. Justeru, apabila ada yang menuduh saya terkandas dalam pelajaran, sudah tentu saya bangkit untuk mempertahankannya,” jelas aktor berusia 48 tahun itu.

Azhar merupakan seorang graduan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) peringkat Diploma dalam jurusan seni bina sebelum menyambung pengajian di Universiti Newcastle Upon-Tyne, Newcastle, United Kingdom (UK) dalam jurusan yang sama.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan industri hiburan di Malaysia, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca