Dikecam Gara-Gara Ajar Cara Basuh Tangan, Syed Saddiq Tampil Bidas Kecaman Warganet

Penularan wabak koronavirus telah membuatkan rata-rata semakin mengambil berat terhadap tahap kebersihan masing-masing. Percaya atau tidak, penulis sendiri terpaksa pergi ke merata tempat untuk membeli penutup hidung dan mulut serta pembasmi kuman tangan (hand sanitizer) memandangkan ia habis terjual di hampir kesemua kedai dan farmasi. Ini sekali gus menunjukkan bahawa masyarakat kita tidak mengambil enteng tentang wabak koronavirus.

Turut berkongsi kesedaran dengan orang ramai tentang pentingnya menjaga kebersihan dalam mencegah virus ini adalah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq. Menerusi posting yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau, Syed Saddiq menggesa seluruh rakyat Malaysia supaya membasuh tangan dengan sabun dan seterusnya menggunakan pembasmi kuman tangan. Meskipun ia dilihat sebagai sesuatu yang kecil tetapi manfaatnya sangat besar terutamanya dalam mencegah wabak berbahaya seperti koronavirus.

Syed Saddiq turut berkongsi foto yang memaparkan beliau sedang membasuh tangan dalam posting berkenaan. Pada masa yang sama, beliau turut berpesan agar jangan sesekali singgah di gerai atau pasar yang kotor.

Namun begitu, tinjauan kami di ruangan komen mendapati bahawa ada segelintir pihak yang tidak senang dengan perkongsian Syed Saddiq itu.

Seorang pengguna Facebook sempat mengaitkan isu koronavirus dengan politik di mana dia mendakwa virus bawaan menteri Pakatan Harapan (PH) jauh lebih bahaya. Apa yang mencuri perhatian ramai adalah respons Syed Saddiq terhadap komen tersebut yang memang win. Rata-rata warganet terhibur dengan comeback yang dibuat oleh Syed Saddiq.

Tidak cukup dengan itu, ada pengguna laman berkenaan yang mempersoalkan penggunaan foto Syed Saddiq sedang membasuh tangan. Menurut Nick Conan, foto itu sama sekali tidak sesuai digunakan kerana warganet bukanlah budak tadika. Sekali lagi, respons Syed Saddiq berjaya mencuri hati perhatian ramai apabila beliau memberi hujah yang tidak dapat disangkal.

Antara komen lain yang menarik perhatian penulis adalah apabila seorang pengguna mengaitkan perkongsian tersebut dengan isu agama. Pengguna di sebalik akaun Muhammad Izzat Ibrahim itu sempat menasihati Syed Saddiq supaya sentiasa mengambil wuduk agar muka dipenuhi Nur atau dalam erti kata lain, cahaya. Mahu dijadikan cerita, dia tersilap eja Nur menjadi Nuh dan Syed Saddiq menggunakan peluang itu untuk berseloroh dengan mengatakan, “Nur ya, Nuh tu rasul kita.”

Apa-apa pun, komen-komen di atas cumalah selingan yang pada pendapat penulis wajar untuk dikongsi. Diharapkan agar semua pembaca dapat mengambil nasihat Syed Saddiq tentang betapa pentingnya menjaga kebersihan dalam mencegah wabak berbahaya. Ingat, cegah sebelum kena!

Untuk baca artikel lain berkenaan penularan wabak koronavirus, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca